Bengkel Pelan Strategik IPIZ perkukuh penyelidikan dan inovasi zakat
Gambar IPIZ
YAN, 3 Februari 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pelan Strategik dan Hala Tuju IPIZ bersama Pusat Kajian Pengantarabangsaan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) selama 3 hari pada 21 Januari lalu di The Jerai Hill Resort.
Bengkel ini melibatkan pengurusan dan kakitangan IPIZ, wakil daripada LZNK, serta felo IPIZ yang merupakan pakar dalam hal ehwal Islam terutamanya dalam bidang zakat dan pengurusan institusi Islam.
Antara fokus utama bengkel ini adalah menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menjalankan kajian berkaitan zakat, meneroka peluang pengantarabangsaan IPIZ melalui kerjasama dengan institusi luar negara, memperkukuhkan hubungan antara IPIZ dan LZNK bagi meningkatkan impak penyelidikan dalam pengurusan zakat serta menyediakan pelan tindakan yang sistematik.
Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid berkata, bengkel ini diadakan bertujuan merangka strategi dan hala tuju IPIZ dalam memperkukuhkan penyelidikan serta inovasi berkaitan zakat di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, kepentingan perancangan strategik yang mampan adalah asas yang kukuh kepada kejayaan sesebuah institusi.
Katanya, tanpa perancangan yang teliti, sesuatu institusi tidak akan mampu mencapai objektif jangka panjang dan tidak dapat memberikan impak yang signifikan terhadap pembangunan ummah, khususnya dalam konteks pengurusan zakat.
“Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan IPIZ dapat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam bidang penyelidikan zakat, sekali gus memainkan peranan yang amat penting dalam memperkasakan dan memodenkan sistem pengurusan zakat di Malaysia.
“Melalui penyelidikan yang berterusan dan kolaborasi yang lebih strategik, IPIZ dijangka mampu untuk mengembangkan model-model pengurusan zakat yang lebih inovatif, yang bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan sistem zakat dalam negara, tetapi juga memberi impak yang lebih besar di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pentingnya kerjasama antara institusi penyelidikan zakat dengan pelbagai pihak luar, termasuk Pusat Kajian Pengantarabangsaan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Menurutnya, kolaborasi dengan Pusat Kajian Pengantarabangsaan LZNK akan membuka lebih banyak peluang dalam memperluaskan impak penyelidikan zakat ke peringkat global.
Sesi perbincangan yang dijalankan sepanjang bengkel memberi fokus kepada pelbagai topik utama yang relevan dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran IPIZ. Pembentangan setelah sesi perbincangan juga merangkumi pelbagai aspek penting seperti model pengurusan zakat yang efisien, yang bertujuan untuk memperkukuh sistem pengumpulan dan pengagihan zakat di negara ini.
Selain itu, inovasi dalam sistem pemantauan penyelidikan zakat turut dibincangkan dengan menekankan kepentingan penggunaan teknologi dan pendekatan baru yang lebih relevan. Kajian kes yang dibentangkan dari institusi zakat luar negara memberikan perspektif yang berbeza dan pengalaman yang berguna untuk dijadikan rujukan, memperlihatkan kejayaan serta cabaran yang dihadapi oleh organisasi zakat di pelbagai negara.
Bengkel ini juga telah menghasilkan beberapa resolusi utama yang dijadikan panduan penting bagi merangka dan melaksanakan inisiatif strategik IPIZ dalam tahun-tahun mendatang. Dengan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat, bengkel ini diharapkan dapat memberi impak yang besar dalam memperkukuh keberkesanan sistem pengurusan zakat di negara ini, seterusnya membantu meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf dan ummah secara keseluruhan.
Selain sesi perbincangan dan pembentangan yang dijalankan, explorace juga turut diadakan pada hari terakhir bengkel di mana ia memberi pelbagai cabaran menarik dan tugasan yang menguji daya pemikiran serta kerjasama peserta. Tujuan utama aktiviti ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan peserta bengkel serta untuk memperkukuhkan semangat berpasukan di antara mereka.
Kerjasama erat antara IPIZ dan LZNK juga dijangka akan membawa manfaat yang sangat besar terutama dalam memastikan pengurusan zakat yang lebih cekap dan berkesan. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak dapat menyusun pelbagai strategi yang berfokus kepada peningkatan keberkesanan pengagihan zakat kepada golongan yang memerlukan, dengan mengambil kira keperluan dan realiti semasa, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai model rujukan dalam pengurusan zakat di peringkat global. – Ahmad Khalidi Abdul Halim