Big Tulip perjuang peranan pemimpin wanita dan kemajuan masyarakat
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA LUMPUR: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi menganjurkan Big Tulip Summit 2024 dengan mengangkat tema ‘CatalystHER: Enriching Business and Society’ yang berlangsung di Renaissance Hotel, hari ini.
Sidang kemuncak ini bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-40 UUM dalam meraikan kecemerlangan bidang pendidikan dan pengurusan perniagaan yang menghimpunkan pemimpin berpengaruh, profesional, dan pembuat dasar untuk membincangkan peranan penting wanita dan golongan profesional muda dalam memacu inovasi perniagaan dan kemajuan masyarakat.
Perasmian Big Tulip ini telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Dalam ucapannya menerangkan tentang pembangunan Kementerian Belia dan Sukan di mana antaranya adalah pertambahan jenis sukan yang diwartakan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang meningkat kepada 103 jenis sukan.
Selain itu, beliau menerangkan tentang pelepasan cukai RM1,000 bagi yuran latihan dan pembelian peralatan sukan dari 2024 kepada 2025 yang menambah golongan ibu bapa selain individu, suami/isteri dan anak.
Dalam belanjawan pembangunan KBS pula menunjukkan peningkatan dari RM329,918,700 pada 2022 kepada RM498,251,100 pada tahun hadapan.
Hannah juga berkongsi golongan pakar yang dilantik untuk membantu membangunkan KBS seperti Datuk Shalin Zulkifli, Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei, Dato’ Hans Isaac dan ramai lagi.
Akhir sekali beliau berkongsi kemudahan yang disediakan KBS seperti KLAS Renang untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun dari B40 dan glongan warga emas serta penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kejohanan sukan sekolah secara percuma.
Sementara itu Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, Sidang Kemuncak Big Tulip ini adalah bukti kejayaan yang telah dilakukan dan menjadi pemangkin untuk kejayaan seterusnya. Ia juga adalah manifestasi komitmen OYAGSB dan UUM untuk melahirkan pemikir strategik untuk perniagaan dan masyarakat.
“Saya yakin melalui perbincangan dalam sidang kemuncak ini, kita akan memperoleh pandangan yang berharga, menjalin hubungan baharu dan memperkasakan antara satu sama lain untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sidang kemuncak ini juga menampilkan Tan Sri Rafidah Aziz, Profesor Adjung OYAGSB dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam sesi ucaptama di mana beliau berkongsi wawasan dan pengalaman luas beliau dalam membentuk dasar perdagangan Malaysia dan meningkatkan kedudukannya dalam ekonomi global serta peranan wanita dalam menyumbang kepada negara.
Forum 1 menampilkan ahli panel seperti Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Nor Azimah Abdul Aziz; Pengasas Hans Advisory & Trust Co. Ltd, Tang Kae Sue dan Ketua Pegawai Eksekutif American Malaysian Chamber of Commerce, Dato’ Siobhan Das.
Forum 2 bersama Ketua Pegawai Eksekutif The Batik Boutique, Amy Blair; Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy & Innovative Centre, Viviante Sarjuni dan Ketua Pegawai Eksekutif, Felora Group of Companies, Thunisah Devi Santhira Segaran.
Pengurus Jenama, First Grade Resources, Azuddin Zan melalui sesi Beauty & Glow! turut ditampilkan di akhir sesi Big Tulip kali ini.
Tokoh-tokoh pemimpin ini berkongsi pengalaman kepimpinan, pengetahuan dan kisah profesional dan peribadi untuk memberi inspirasi kepada kira-kira 200 peserta.