IKIM jadikan UUM Press sebagai penanda aras menjadi penerbit dinamik
Gambar Muhammad Hasiff Muner
SINTOK, 19 Februari 2025: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah melangkah ke hadapan dengan menjadikan UUM Press sebagai penanda aras dalam usaha memantapkan Unit Penerbitan IKIM menjadi sebuah penerbit yang lebih dinamik dan berfungsi tinggi.
Lawatan penandaarasan delegasi IKIM yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail bersama empat delegasi lain disambut mesra oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Russayani Ismail.
Dalam ucapannya, Dr. Russayani mengharapkan kerjasama antara UUM dan IKIM tidak terhad kepada bidang penerbitan sahaja memandangkan IKIM mempunyai tiga pusat akademik iaitu Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Pusat Kajian Undang-Undang, Syariah dan Politik (SYARAK) dan Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS).
Beliau berkata, peluang untuk bekerjasama dengan IKIM meliputi pelbagai aspek, termasuk penyelidikan. Tiga pusat kajian di bawah IKIM boleh dimanfaatkan bersama untuk menjana lebih banyak inovasi dan pengetahuan.
Taklimat mengenai UUM Press disampaikan oleh Pengarah UUM Press, Prof. Sr. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi yang turut dikongsi bersama ketua-ketua seksyen UUM Press.
Beliau berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang operasi penerbitan, serta strategi yang digunakan oleh UUM Press.
Delegasi IKIM juga dibawa melawat UUM Press Bookstore yang mempamerkan koleksi buku terbitan UUM serta produk penerbitan terkini.
Lawatan ini memberikan gambaran jelas tentang kejayaan UUM Press dalam mengimbangi tradisi penerbitan akademik dengan keperluan pasaran moden.
Hadir bersama Dr. Mohd. Zaidi ialah Fellow Utama/Pengarah (SYARAK), Dr. Nik Roskiman Abdul Samad; Pegawai Tadbir Kanan/Ketua Unit Penerbit, Sri Sarina Dewi Suhaimin; Editor/Ketua Unit Editorial, Mohamad A’sim Ismail dan Penolong Pegawai Tadbir (Unit Penerbit), Nur Hazwani Mohd Razip.
Lawatan ini diharapkan dapat membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama strategik antara IKIM dan UUM, khususnya dalam bidang penerbitan dan penyelidikan, demi memartabatkan ilmu pengetahuan dan penyebaran maklumat yang berkualiti. – Mohammad Amzari Bakri