General

Jubin Serat Kenaf-Pressmud solusi revolusi lantai lestari hasil kerjasama industri

Berita dan gambar Nur Syamiera Amran dan Dr. Maheera Mohamad

SINTOK, 9 Julai 2025: Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Maheera Mohamad telah berjaya menghasilkan inovasi terkini dalam bidang bahan binaan iaitu Jubin Serat Kenaf-Pressmud.

Jubin Serat Kenaf-Pressmud, sebuah produk jubin lantai inovatif yang menggabungkan tiga komponen utama iaitu serat kenaf tempatan, sisa buangan industri gula (pressmud) dan resin mesra alam direka khas untuk kegunaan dalaman dan luaran bangunan, menawarkan penyelesaian lestari kepada industri pembinaan dengan memanfaatkan bahan buangan industri gula dan sumber tempatan yang boleh diperbaharui.

Dr. Maheera berkata, inovasi ini merupakan langkah yang baik dalam merealisasikan ekonomi kitaran di Malaysia di mana bahan buangan industri seperti pressmud yang dahulunya tidak bernilai kini diubah menjadi produk komersial bernilai tinggi, manakala serat kenaf berfungsi sebagai pengukuh semula jadi struktur jubin.

Menurutnya, projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UUM, MSM Prai Berhad sebagai pengeluar gula utama negara, dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), dengan penyertaan sebuah syarikat pengeluar jubin ternama dalam proses pembangunan prototaip dan ujian kelayakan produk.

Jubin Serat Kenaf-Pressmud menawarkan pelbagai kelebihan unik termasuk sifat mesra alam melalui pengurangan sisa industri, penggunaan sumber boleh diperbaharui, kekuatan dan ketahanan yang unggul hasil gabungan serat kenaf dan pressmud, serta kesesuaian untuk pelbagai aplikasi kediaman dan komersial dengan variasi reka bentuk dan warna yang menarik.

Selain manfaat alam sekitar yang ketara, projek ini turut berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu merentasi keseluruhan rantaian nilai – dari peringkat pengumpulan bahan mentah sehingga pengeluaran dan pemasaran produk akhir.

“Komitmen berterusan pasukan kami untuk membangunkan lebih banyak produk hijau yang bukan sahaja memelihara alam sekitar tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Pada peringkat ini, pasukan penyelidik UUM sedang giat menjalankan ujian pengeluaran berskala kecil sebagai persediaan akhir sebelum pelancaran komersial, dengan sokongan padu daripada LKTN dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diharapkan dapat mempercepatkan proses pengkomersialan produk ini,” katanya.

Kejayaan Jubin Serat Kenaf-Pressmud ini sekali lagi membuktikan kedudukan UUM sebagai peneraju inovasi hijau di Malaysia, berjaya menghubungkan penyelidikan akademik dengan penyelesaian praktikal untuk isu alam sekitar yang mendesak.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button