LIMA’25: UUM kupas cabaran keselamatan Maritim Asia Tenggara dan Peranan Strategik ASEAN
Gambar Hairul Nizam Zahari
LANGKAWI, 21 Mei 2025: Bicara bertajuk Managing Maritime Security in Southeast Asia: ASEAN Security Management in Focus yang diadakan hari ini membuka ruang wacana kritikal berhubung cabaran dan pengurusan keselamatan maritim di rantau Asia Tenggara, yang terkenal dengan laluan laut tersibuk di dunia seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Sesi Bicara yang dimoderatorkan oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti Industri UUM, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam itu mengetengahkan perbincangan dua hala yang menyeluruh mengenai landskap keselamatan maritim serantau serta pendekatan ASEAN dalam menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional, termasuk isu perikanan haram, penyeludupan, pemerdagangan manusia dan ancaman siber terhadap infrastruktur pelabuhan.
Dua ahli panel telah dijemput untuk membentangkan pandangan mereka di Pavilion MOHE sempena Pameran Udaran dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Prof. Madya Dr. Bakri Mat, Pensyarah Kanan di Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Pengajian Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), membentangkan isu-isu utama berkaitan keselamatan maritim Asia Tenggara dari sudut strategik.
Beliau menekankan kepentingan geografi maritim rantau ini, kemunculan pelakon luar seperti China, Amerika Syarikat dan Jepun, serta keperluan dialog dan langkah membina keyakinan secara multilateral.
Dr. Bakri, yang turut berperanan dalam Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) dan pelbagai jawatankuasa dasar kerajaan, menyarankan agar tumpuan diberikan kepada kerjasama strategik rentas negara bagi memperkukuh tindak balas terhadap jenayah maritim, termasuk cadangan membangunkan Terusan Kra sebagai laluan alternatif serantau.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero, juga dari UUM, membincangkan peranan institusi ASEAN dalam mengurus keselamatan maritim melalui pelbagai platform seperti ASEAN Maritime Forum (AMF), ASEAN Regional Forum Inter-Sessional Meeting on Maritime Security (ARF ISM-MS), ADMM-Plus, dan Code for Unplanned Encounters at Sea (CUES).
Menurut beliau, ASEAN masih berdepan cabaran menyeimbangkan prinsip tidak campur tangan dengan keperluan bertindak kolektif, namun menekankan pentingnya usaha memperkasa mekanisme sedia ada melalui latihan bersama dan prosedur operasi standard (SOP) serantau.
Sesi perbincangan yang dimoderatorkan turut menyentuh pelbagai isu penting seperti keberkesanan rondaan maritim serantau, pendekatan “ASEAN-minus-X”, serta keperluan ASEAN menangani ancaman bukan tradisional termasuk serangan siber terhadap pelabuhan dan kesan perubahan iklim terhadap sempadan maritim.
Kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa meskipun ASEAN telah memainkan peranan sebagai pemudah cara dialog, lebih banyak usaha diperlukan untuk menjadikan mekanisme keselamatan maritimnya lebih responsif, fleksibel dan bersepadu dengan realiti kontemporari.
Bicara ini sekali lagi membuktikan bahawa kerjasama serantau dan kepimpinan strategik adalah tunjang utama dalam memastikan keselamatan perairan Asia Tenggara terus terpelihara dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar. – Kori Ariff