General

Naib Canselor bersama JSM, MPP, U Riders, staf akademik gotong-royong santuni mangsa banjir

Gambar Shamsaimi Ezil

JITRA, 3 Disember 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan Misi Sukarelawan Banjir UUM 2024 bersama skuad sukarelawan “Skuad Ihsan Madani” yang terdiri daripada sukarelawan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), U Riders, dan staf akademik UUM bagi menyantuni mangsa banjir di sekitar Jitra dan Changlun, semalam.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut serta dalam misi tersebut menzahirkan rasa empati terhadap warga UUM yang terjejas bencana banjir.

“Pengurusan UUM empati dengan nasib yang menimpa sebahagian besar staf dan pelajar UUM yang diuji dengan bencana banjir.

“Banjir ini memberikan kesan emosi yang buruk kepada mangsa. Justeru, saya berharap dengan kehadiran pasukan sukarelawan dan pemberian Kit Sumbangan Banjir UUM dapat meringankan beban dan emosi mereka yang terlibat,” katanya.

Misi ini memberi fokus kepada kawasan-kawasan terjejas seperti Taman Seri Kelubi, Kampung Biak di Malau, Taman Sri Changlun 2, dan Kampung Sungai Petani di Mukim Temin.

Sokongan yang diberikan termasuk bantuan pembersihan rumah, sumbangan bekalan makanan, serta sokongan emosi kepada mangsa yang kehilangan harta benda.

Sementara itu, mangsa banjir, Ismanor Akmar menceritakan pengalamannya apabila air banjir naik secara mendadak hingga paras pinggang dalam tempoh kurang dua jam.

“Ini pertama kali air masuk ke dalam rumah. Sebelum ini, hanya jalan di depan rumah sahaja yang dinaiki air.

“Saya bersyukur dengan bantuan sukarelawan UUM, kami dapat membersihkan rumah dan menyelamatkan beberapa barang penting,” katanya dari UNIFILM Studio.

Bagi pembantu awam di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Yusni Nayan dan pensyarah TISSA UUM, Faidzulaini Muhammad juga menyatakan rasa terima kasih atas bantuan tenaga dan bekalan asas yang disalurkan kepada keluarga mereka.

Bantuan turut diberikan kepada pelajar UUM yang menjadi mangsa banjir, antaranya pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Fatin Ayuni Ahmad Shamizun.

Menurutnya, dia sekeluarga tidak dapat ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) kerana penuh, jadi terpaksa bermalam di dalam kereta berhampiran rumah.

Katanya, bantuan dari Skuad Sukarelawan UUM ini sangat membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

UUM akan terus komited membantu warga UUM yang memerlukan, menjadikan Misi Sukarelawan Banjir UUM 2024 sebagai satu usaha yang bermakna dalam mengukuhkan semangat kebersamaan antara warga universiti. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button