General

Pelajar Pengurusan Acara UUM didedahkan dengan dunia industri menerusi penyertaan Program Business Events

Gambar STHEM

KOTA KINABALU, 8 Februari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) terus memperkukuhkan komitmen dalam melahirkan graduan berdaya saing industri apabila tiga pelajar tahun akhir Program Pengurusan Acara diberi peluang menyertai program Business Events (BE) in Sabah 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Februari di Sabah International Convention Centre (SICC).

Penyertaan pelajar ini telah diketuai oleh Dr. Azizah Ismail, yang juga merupakan Naib Presiden (Inovasi dan Penyelidikan) bagi MACEOS Northern Chapter dan pegawai pengiring, Dr. Norwani Mohd Nazari yang memainkan peranan sebagai pemerhati akademik sepanjang program berlangsung.

Program anjuran Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS) ini menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar, akademia serta generasi muda dari dalam dan luar negara, sekali gus memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai ekosistem sebenar industri Business Events.

Dr. Azizah berkata, penyertaan ini amat signifikan kerana ia membolehkan pelajar mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam situasi sebenar industri, termasuk aspek rangkaian profesional, tadbir urus acara, serta dinamik kerjasama pelbagai pihak.

“Pendedahan kepada real-life industry setting seperti ini sangat penting untuk membina kefahaman holistik pelajar terhadap cabaran dan keperluan sebenar industri acara dan perniagaan,” katanya.

Program berprestij ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Penyertaan UUM dalam program ini juga merupakan manifestasi kepada kerjasama strategik antara UUM dan MACEOS yang telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada awal tahun ini, selepas kedua-dua pihak menjalin Surat Hasrat (LoI) selama dua tahun.

Kerjasama ini memberi fokus kepada pembangunan bakat, perkongsian kepakaran industri, serta pengukuhan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).

Dr. Azizah turut menegaskan bahawa hubungan erat antara institusi akademik dan industri adalah kunci kepada pembangunan graduan yang relevan dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

“Kolaborasi seperti ini membuka ruang pembelajaran yang lebih autentik dan membentuk keyakinan pelajar dalam berinteraksi dengan profesional industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

UUM melihat inisiatif ini sebagai langkah strategik dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri semasa, sekali gus menyokong agenda universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berfikiran global. – Dr. Azizah Ismail

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button