General

Penyelidik SLCP dan Brainey Sdn. Bhd. perkasa pembangunan produk lestari

Berita dan gambar Dr. Ahmad Fuad Mat Hassan

TUMPAT, 5 Mei 2025: Kumpulan penyelidik Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan dan perbincangan meja bulat bersama Syarikat Spin-off USM, Brainey Sdn. Bhd., dalam usaha memperkasa pembangunan produk lestari dan keusahawanan berasaskan komuniti.

Delegasi yang diketuai oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, menyatakan bahawa hubungan ini adalah langkah penting dalam menghubungkan jurang antara dunia akademik dan industri.

“Melalui kerjasama ini, kami dapat mempercepatkan pemerkasaan komuniti untuk membangunkan satu model usahawan yang holistik yang menggabungkan inovasi, kelestarian dan nilai sosial dengan menyediakan akses kepada teknologi dan pasaran yang lebih luas, selari dengan misi SLCP untuk memacu pembangunan berasaskan pengetahuan dan kelestarian,” katanya.

Perbincangan ini memfokuskan kepada pemindahan ilmu dan teknologi, inovasi sosial serta pengkomersialan hasil penyelidikan yang mampu memberi impak langsung kepada komuniti luar bandar, khususnya dalam sektor pertanian mampan, herba tropika dan produk agro-biodiversiti.

Brainey Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Dr. Mohd Zulkifli Mustafa, merupakan Pengasas dan Pengarah Syarikat Spin-Off USM yang mempunyai kepakaran dalam inovasi berasaskan neuro sains tingkah laku, pembangunan produk pengguna dan reka bentuk sosial.

Dr. Zulkifli berkata, sinergi ini membuka peluang untuk meneroka model inovasi yang berpaksikan komuniti serta memperkenal produk tempatan ke pasaran yang lebih kompetitif.

Melaui FGD ini, penyelidik UUM turut didedahkan dengan pembangunan sistem dokumentasi dan pensijilan, kaedah pemasaran, program latihan berasaskan tapak (on-site), serta penyelidikan bersama untuk menilai keberkesanan intervensi terhadap kesejahteraan komuniti sasar.

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UUM dan USM dalam menggerakkan agenda penyelidikan yang mampu diterjemahkan kepada perubahan nyata dalam masyarakat.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button