Program strategik ARICG, FAMA, PKWK perkasa penjaja wanita Kedah
Berita dan gambar Norhafiza Hashim
CHANGLUN, 13 Mei 2025: Seramai 10 usahawan wanita dari sekitar Daerah Kubang Pasu dan Alor Setar telah menyertai Program Pengurusan Kewangan Usahawan Wanita yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADi), Bukit Tangga.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Asia Research Institute for Corporate Governance (ARICG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Pejabat FAMA Negeri Kedah, Pertubuhan Kesedaran Wanita Negeri Kedah (PKWK) serta pihak NADi Felda Bukit Tangga.
Pengarah ARICG, Prof. Dr. Noor Afza Amran berkata, objektif ini bertujuan memperkasa wanita penjaja kecil dalam aspek kepimpinan, pengurusan kewangan dan perniagaan berdaya tahan.
Program bermula dengan sesi ice breaking bertajuk “Kenali Diri & Kenali Rakan” yang dikendalikan oleh Dr. Sakinah Muslim dan Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf, bagi memupuk keakraban dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Sesi seterusnya menampilkan Dr. Siti Aznor Ahmad yang menyampaikan ceramah bertajuk “Kepimpinan Wanita Dalam Perniagaan”, memberi dorongan kepada peserta untuk tampil lebih yakin dan proaktif dalam memimpin perniagaan kecil mereka.
Pengisian utama program melibatkan bengkel perancangan kewangan dan pengurusan aliran tunai yang dikendalikan oleh pakar kewangan iaitu Prof. Dr. Noor Afza dan Dr. Mazrah Malik, diikuti dengan latihan praktikal asas perakaunan dan rekod perniagaan harian, termasuk penggunaan buku kecil untuk merekod jualan, kos dan keuntungan. Program diakhiri dengan sesi penilaian serta perkongsian oleh peserta melalui pembentangan mini bertajuk “Bisnes Saya, Impian Saya”.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pegawai FAMA Daerah Kota Setar/Kubang Pasu, Nur Shafaiza Abu Bakar, dan Pengurus Pasar Tani Kekal Changlun, Norazize Yusoff yang menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong pembangunan usahawan wanita tempatan.
Penganjuran program ini memperlihatkan komitmen UUM dalam usaha mentransformasikan Changlun bersama pelbagai pihak dalam memperkukuh jaringan strategik antara agensi kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan masyarakat sivil demi pembangunan ekonomi komuniti wanita. Ia sekali gus membuktikan bahawa wanita penjaja kecil mampu ditransformasi menjadi usahawan yang berilmu, celik kewangan dan bersedia menyahut cabaran ekonomi semasa.