Projek SIGS lonjak kerjaya belia desa menerusi kemahiran gunting rambut dan asas keusahawanan
Berita dan gambar Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin
JITRA, 14 Julai 2025: Projek komuniti di bawah Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) telah membawa transformasi nyata kepada golongan belia berpendapatan rendah di daerah Kubang Pasu menerusi program bertajuk “Inovasi Sosial Melalui Kemahiran Gunting Rambut: Membentuk Bakat Muda Untuk Masa Depan Berjaya”.
Dalam arus gaya hidup moden hari ini, semakin ramai lelaki mula memberi perhatian terhadap penggayaan rambut sebagai sebahagian daripada ekspresi identiti dan gaya peribadi. Penggayaan rambut tidak lagi dianggap sebagai aspek fesyen semata-mata, tetapi telah menjadi simbol keyakinan dan penampilan profesional.
Media sosial turut memainkan peranan besar dalam melonjakkan populariti trend rambut terkini, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan gunting rambut yang berkualiti. Namun, di sebalik permintaan yang meningkat, terdapat kekurangan tenaga mahir tempatan yang mampu memenuhi kehendak pasaran. Kebanyakan kedai gunting rambut di negara ini masih bergantung kepada pekerja asing dari India dan Indonesia.
Menyedari jurang ini sebagai satu peluang, sekumpulan ahli akademik dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah serta Syarikat Bangor Global Resources melalui Abdul Barber, telah tampil melaksanakan program pemindahan ilmu berimpak tinggi ini.
Projek ini dibiayai oleh Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), UUM melalui skim SIGS, dan menekankan pendekatan pembangunan kemahiran lestari dalam kalangan belia luar bandar yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Dana digunakan secara bersepadu bagi membangunkan modul latihan komprehensif, penyediaan fasiliti, alatan gunting rambut serta khidmat jurulatih dan pakar dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan.
Program yang berlangsung dari Ogos 2024 hingga Julai 2025 ini diterajui oleh Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin, bersama rakan penyelidik iaitu Dr. Edie Erman Johari, Dr. Zunarni Kosim dan Dr. Juhaida Abu Bakar. Modul latihan merangkumi pelbagai topik penting termasuk teknik potongan rambut, penjagaan rambut, perkhidmatan pelanggan serta strategi memulakan dan menguruskan perniagaan kecil.
Bagi kemahiran teknikal, para peserta dibimbing oleh jurulatih profesional daripada Abdul Barber yang menyampaikan dua modul utama secara progresif iaitu dari teknik asas kepada gaya potongan moden yang sedang mendapat permintaan tinggi.
Dr. Hakimi berkata, pendekatan latihan ini memberi peserta peluang menguasai kemahiran bernilai komersial, seterusnya membina keyakinan untuk memulakan kerjaya atau perniagaan dari rumah.
“Kesan program ini bukan hanya dapat dilihat melalui peningkatan kemahiran, malah pendapatan peserta turut meningkat dengan ketara.
“Mereka bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah mula menyumbang kepada ekonomi keluarga dan komuniti,” katanya.
Dr. Hakimi menegaskan bahawa kejayaan awal ini membuktikan terdapat potensi besar untuk mengembangkan model projek ini ke daerah lain, dan menjadi rujukan nasional dalam pemerkasaan komuniti luar bandar.
Kesemua 10 peserta kini berjaya menjana pendapatan menggunakan kemahiran yang diperoleh.
Salah seorang peserta, Muhammad Iman Hakimi Che Hamzan berkata, kini bekerja sepenuh masa sebagai tukang gunting di Pekan Lama, Jitra dan memperoleh pendapatan antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan.
“Dulu saya hanya bekerja mencuci kereta. Kini, saya bukan sahaja mempunyai kerjaya tetap sebagai tukang gunting rambut profesional, malah turut berkongsi ilmu dengan memberi latihan kepada komuniti sekitar. Alhamdulillah, saya kini lebih berdikari dan bersemangat untuk terus maju,” katanya.
Seorang lagi peserta, Abdul Azhim Baharuddin, yang dahulunya bekerja sebagai penunggang Foodpanda, menyifatkan program ini sebagai titik perubahan dalam hidupnya.
Menurutnya, program ini sangat bagus kerana mengubah arah hidupnya.
“Sekarang saya bekerja sebagai tukang gunting di Taman Mahsuri, Jitra dan menjana pendapatan sekitar RM1,800 hingga RM2,500 sebulan.
“Saya juga bercita-cita untuk membuka kedai gunting rambut sendiri suatu hari nanti,” katanya.
Sebagai langkah sokongan awal, setiap peserta menerima set lengkap peralatan gunting rambut bernilai RM600 untuk memulakan operasi di rumah. Bantuan ini mempercepatkan proses menjana pendapatan dan memberi ruang kepada peserta untuk terus berkembang dalam bidang ini.
Program ini turut menyediakan sesi sokongan dan bimbingan selepas latihan, memastikan peserta terus mendapat galakan dan rujukan untuk mengembangkan kemahiran dan perniagaan mereka. Gabungan kemahiran teknikal, ilmu keusahawanan dan sokongan sumber menjadikan projek ini bukan sekadar latihan, tetapi platform pemerkasaan komuniti secara holistik.
Peserta menyifatkan program ini sebagai pembuka jalan ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan stabil, serta menzahirkan penghargaan kepada CUIC dan UUM atas keprihatinan yang tinggi terhadap pembangunan belia di luar bandar.