General

SBM sampaikan sumbangan kepada keluarga Muhammad Amiruddin tanda prihatin

Berita dan gambar Muhamad Asri Hanafi

KUALA LUMPUR, 8 Mac 2026: Pihak pengurusan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Amiruddin Musa, pelajar Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan yang telah kembali ke rahmatullah pada 27 Februari lalu akibat kemalangan.

kunjungan tersebut diadakan di kediaman keluarga Allahyarham di Segambut, Kuala Lumpur dan diketuai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SBM, Dr. Norzalila Jamaludin bersama beberapa wakil pengurusan dan pensyarah SBM iaitu Dr. Tunku Nur Atikhah Tunku Abaidah dan Dr. Hafinas Halid.

Dr. Norzalila berkata, kunjungan itu diadakan sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan pihak universiti terhadap keluarga Allahyarham di samping menyampaikan ucapan takziah daripada seluruh warga SBM.

Dalam lawatan tersebut, pihak pengurusan SBM turut menyampaikan sumbangan daripada keluarga besar SBM kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda simpati dan sokongan terhadap mereka yang sedang melalui detik sukar kehilangan insan tersayang.

Allahyarham dikenali sebagai seorang pelajar yang sangat aktif dan sering terlibat dalam pelbagai program anjuran SBM dan kerap diberi kepercayaan sebagai pengacara majlis dalam program-program di SBM, selain memainkan peranan sebagai ahli jawatankuasa dalam pelbagai aktiviti pelajar.

Dr. Norzalila yang mewakili pihak pengurusan SBM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

Pihak SBM mendoakan agar roh Allahyarham Muhammad Amiruddin dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta berharap keluarga Allahyarham terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Khairunniesa Alwani Fairuz Abadi dan Khairul Aisyah Humaira Khairulmuzzamil.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button