General

SCIMPA angkat hala tuju industri kreatif tanah air

Gambar WBL SCIMPA

TELUK BAHANG, 15 Mei 2025: Ruang dan peluang selama 3 hari 2 malam di Teluk Bahang telah mengumpulkan 40 staf dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan memenuhi semangat dan ilham berlatarbelakangkan perjuangan seni kreatif.

Sekumpulan insan berjiwa besar telah merapatkan saf untuk berkampung bagi mengkaji, merancang, membentuk satu pelan tindakan bertujuan memacu masa depan seni dan industri kreatif tanah air.

Bengkel Hala tuju BELATI atau Bengkel Pelan Strategik SCIMPA, Hala tuju dan Jalinan Kerjasama Komuniti (BELATI) SCIMPA, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung pada 8 sehingga 10 Mei lalu di Pulau Pinang.

Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, program ini bertujuan memetakan SCIMPA kepada Hala tuju SCIMPA 2025-2030.

Menurutnya, kewujudkan seni kreatif tanah air sering kali menjadi buah mulut masyarakat yang kurang memahami aspek keilmuan seni kreatif itu sendiri. Melalui kesedaran ini, SCIMPA merangka blue-print untuk menjadikan UUM sebagai hab industri kreatif zon utara yang bakal menjadi rujukan diperingkat tempatan mahupun antarabangsa.

Program yang disusun atur ini turut melibatkan komuniti seni warisan batik Pulau Pinang untuk pusat pengajian SCIMPA berkongsi kepakaran bidang dalam pembuatan batik. Malah, pihak SCIMPA tidak melupakan aktiviti kesukarelawanan di mana kesemua peserta termasuk urus setia membersihkan kawasan pantai Teluk Bahang dan laluan sekitar.

Program ini juga turut mengeratkan hubungan silaturrahim sesama staf dan mewujudkan satu suasana yang harmoni untuk jangka masa panjang.

Bengkel ini turut dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan pada Majlis Makan Malam Citra Kreatif Seni Warisan Utara.

Pelbagai aktiviti dipadatkan melalui perkongsian ilmu daripada artis terkemuka tanah air iaitu Dr. Azmeer, penulis karya kreatif hebat Malaysia iaitu MF Kencana serta perkongsian santapan ilmu daripada bidang fotografi, muzik, animasi, filem dan banyak lagi.

Program ini juga dilengkapkan lagi dengan penyampaian Anugerah EKSA, Anugerah Kecemerlangan Staf, Anugerah Seni Kreatif kepada penggiat seni Universiti Utara Malaysia dan disampaikan oleh Naib Canselor.

Dr. Adzrool berkata, program ini bukan sahaja mengadunkan ilmu mengikut bidang kepakaran masing-masing, malah mengangkat pihak industri seni tanah air dan meletakkan hala tuju yang dikehendaki oleh zaman masa kini.

SCIMPA tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan dan dorongan daripada pihak pengurusan, ahli akademik, pentadbiran, ahli bakat dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung di dalam UUM.

Sebagai penggiat seni tanah air, pusat pengajian (SCIMPA) tetap dengan pendirian ‘Kegunung sama didaki, kelurah sama dituruni’,’dimana bumi dipijak, di situ langit dijungjung” dan akan sentiasa menjadi ‘malar segar’ dalam mengembangkan kegiatan seni tanah air. – Shahadat Nordin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button