Gambar oleh Nor Azlinah Zaini
SINTOK, 20 Julai 2025: Persatuan Pesara Universiti Utara Malaysia (PESARA) telah menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura bersempena bulan Muharram bertempat di dapur memasak Pusat Islam UUM. Seramai 25 ahli PESARA hadir memeriahkan program yang berlangsung dalam suasana penuh keceriaan, ukhuwah dan kesyukuran.
Menurut Puan Norlaila Osman selaku Setiausaha PESARA, penganjuran ini bertujuan menghidupkan tradisi memasak bubur Asyura sebagai wadah perpaduan, di samping mengeratkan kembali hubungan dalam kalangan ahli PESARA. Kehadiran para pesara UUM dalam program ini mencerminkan kesediaan mereka untuk terus menyumbang budi dan bakti meskipun sudah bersara. Seumpama pepatah Melayu, “seperti pinang pulang ke tampuk”, mereka kembali dalam suasana yang penuh mesra, nostalgia dan dipenuhi rasa kekeluargaan.
Dalam majlis yang sama, PESARA turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM400.00 bagi menampung pembelian kelengkapan dapur Pusat Islam untuk Projek Food Bank Pelajar. Sumbangan ini merupakan satu sokongan untuk pengoperasian Dapur HEPA, iaitu satu inisiatif kebajikan universiti untuk membantu mahasiswa yang memerlukan. Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Tuan Haji Amron bin Man, Bendahari PESARA kepada Prof. Madya Dr. Zainudin bin Omar, Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Turut menyaksikan penyerahan ini ialah Tuan Haji Baharuddin Yaakob, Timbalan Presiden PESARA dan Ustaz Haji Mohd Yusnaidi Md Sabri, Pengarah Pusat Islam UUM.
Sumbangan ini bertepatan dengan hasrat YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, untuk memperluas pelaksanaan Dapur HEPA di institusi pengajian tinggi seluruh negara. Dapur HEPA merupakan inisiatif di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang menyediakan makanan percuma atau bersubsidi kepada mahasiswa memerlukan, khususnya daripada golongan B40 atau pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan.
Matlamat utama Dapur HEPA ialah untuk meringankan beban sara hidup pelajar serta membina budaya saling membantu antara warga universiti terdiri daripada pelajar, staf, alumni dan masyarakat. Proses penyediaan dan pembungkusan makanan akan dilakukan sepenuhnya oleh pelajar dan staf universiti secara sukarela.
Menurut Mohd Yusnaidi, pihak Pusat Islam menyambut baik sumbangan daripada PESARA dan berharap agar lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan kepada inisiatif Dapur Food Bank ini. “Kita berharap sumbangan sebegini menjadi contoh untuk menggalakkan lebih ramai dalam kalangan alumni, staf, komuniti luar dan pihak korporat untuk turut serta menjayakan usaha murni ini demi kesejahteraan mahasiswa,” ujar beliau.
Pusat Islam UUM merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dan berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai tanda hubungan erat yang berpanjangan antara pesara dan universiti tercinta.