SLCP dan SBM bergabung kukuhkan kerjasama strategik bersama KUSKOP dan PERNAS
Gambar SLCP
PUTRAJAYA, 8 Februari 2026: Sekumpulan pensyarah daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) serta Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan perbincangan strategik bagi merancang dan memantapkan hubungan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
Delegasi UUM diketuai oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie bersama barisan pensyarah kanan iaitu Dr. Khairol Anuar Ishak, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa serta Syahrina Abdullah.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan pembangunan dan kelestarian industri francais di Malaysia melalui pendekatan kolaboratif akademia, industri dan kerajaan.
Menurutnya, perbincangan ini memfokuskan perancangan strategik tiga pihak dalam membangunkan ekosistem francais negara yang lebih mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi.
Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Francais dan Vendor yang mewakili KUSKOP, Adila Sabri Muhammad.
Turut hadir mewakili KUSKOP ialah Najdiah Ismail, Ichwan Fiska Rimaya Musly Thahar dan Siti Khalijah Jahya, manakala pihak PERNAS diwakili oleh Ketua, Franchise Development & Support Department, Dr. Muhammad Hafizi Sulaiman.
Kehadiran pelbagai pihak berkepentingan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa industri francais melalui sokongan dasar, kepakaran akademik dan pengalaman industri.

Antara fokus utama perbincangan ialah penambahbaikan profil dan pengurusan data usahawan francais, selain penetapan skop serta perincian Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai antara UUM dan PERNAS.
Sehubungan itu, satu gerak kerja menyeluruh dirangka bagi memastikan semua perancangan strategik UUM–PERNAS–KUSKOP dapat dilaksanakan secara berfasa dan berkesan demi mencapai kecemerlangan pembangunan industri francais di Malaysia.
Turut dibincangkan ialah peranan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam memperkasakan usahawan francais dalam kalangan siswazah universiti, yang wajar diberi perhatian sebagai agenda strategik negara dalam melahirkan graduan berdaya saing, berjiwa keusahawanan serta mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi melalui sektor francais. – Dr. Khairol Anuar Ishak



