Sultan Kedah titah jangan politikkan pendidikan tinggi
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 9 November 2025: Sultan Kedah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menegaskan bahawa universiti harus dijadikan tempat untuk mencari ilmu, bukan medan untuk berpolitik atau menabur fitnah.
Baginda yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah bahawa sekiranya ilmu disalahgunakan untuk tujuan politik atau penyebaran fitnah, ia berisiko merosakkan kepercayaan rakyat dan mengancam masa depan generasi akan datang.

Tuanku Sultan menegaskan pentingnya semua pihak bekerjasama untuk memastikan institusi pengajian tinggi di negara ini kekal berintegriti dan berpaksikan kebenaran.
“Universiti harus menjadi jambatan perpaduan, bukan tembok perpecahan. Gunakan ilmu dengan kebijaksanaan. Jadilah individu yang membina, bukan meruntuh dan yang menyatukan, bukan memecah-belahkan,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.
Seramai 92 graduan UUM paling cemerlang dalam akademik, kepimpinan dan sahsiah dikurniakan pelbagai anugerah termasuk Ijazah Kehormat Kedoktoran, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pelajaran Diraja, serta pelbagai Anugerah Kecemerlangan.
Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 6,832 graduan akan menerima ijazah masing-masing dalam sembilan sesi. Daripada jumlah itu, seramai 5,575 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,241 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana termasuklah 16 orang graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.

Majlis konvokesyen ini juga melibatkan seramai 6,317 graduan tempatan dan 441 lagi adalah graduan antarabangsa, antaranya dari Indonesia (164), China (109), Pakistan (36), Arab Saudi (23), Nigeria (21), Somalia (18), Iraq (17) dan lain-lain seramai 53 orang.
Pada masa sama, Tuanku Sultan Kedah mengingatkan bahawa ijazah yang diperoleh merupakan amanah untuk menyalakan obor kebenaran dan kemanusiaan, serta melaksanakan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Baginda turut menyatakan kebanggaan terhadap pencapaian UUM yang kini semakin cemerlang di peringkat antarabangsa, dengan penyelidikan yang semakin berkualiti, graduan yang lebih berdaya saing, dan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa.
Turut hadir berangkat mencemar duli adalah Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah; Pro-Canselor, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah; Pro-Canselor, Yang Mulia Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff.
Selain itu, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut hadir dalam majlis berkenaan.



