General

UUM memasuki Pelan Strategik Fasa IV (2026-2030), pastikan agenda nasional dan antarabangsa tercapai

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 14 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membangunkan Pelan Strategik Fasa 1 sejak 2011 dan kini bakal memasuki Fasa IV (2026-2030) yang akan bermula menjelang tahun hadapan.

Pelan Strategik ini merupakan penggerak dalam pelaksanaan, pemantauan dan memastikan pencapaian agenda di peringkat antarabangsa dan peringkat nasional.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapan beliau secara dalam talian berkata, perancangan pembangunan Pelan Strategik Fasa IV ini perlu mengambil kira agenda di peringkat antarabangsa yang merangkumi QS Ranking, THE Ranking, Akreditasi seperti AACSB, AUNQA, AMBA dan EQUIS, di samping melihat kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, menurutnya, agenda di peringkat nasional juga perlu diberi perhatian yang terdiri daripada beberapa agenda utama iaitu Hala Tuju Pendidikan Tinggi (HTPT), MYMOHES, MyRA, OBB, Rancangan Malaysia Ke-13, SETARA dan Rangka Tindakan Pendidikan Tinggi Negara (NHEBP).

Katanya, semua agenda ini akan memberi impak kepada satu sistem baharu yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Formula Pendanaan Baharu (NFF) di mana peruntukan kepada universiti akan diberikan berdasarkan prestasi universiti.

“Dalam mencapai sasaran ranking dan visi UUM, penambahbaikan dari segi kerangka Pelan Strategik Fasa IV turut dilaksanakan.

“Dalam Pelan Strategik Fasa IV, kita akan mewujudkan dan menetapkan pengukuran kepada tiga peringkat yang lebih atas iaitu di peringkat Strategi, Fokus dan Visi UUM berbanding Fasa III sekarang yang tertumpu di peringkat Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Petunjuk Prestasi (PI), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pengukuran Pelan Strategik Fasa IV kepada empat peringkat yang berbeza,” katanya pada Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Fasa IV (2026-2030) Siri 2: Bersama JPU dan Ketua PTJ di EDC UUM, hari ini.

Dr. Mohd Foad berkata, bagi memastikan pelan strategik universiti dapat dicapai, seterusnya mencapai Visi dan Misi UUM dalam menjadi sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka dan mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global dengan moto Ilmu, Budi dan Bakti, objektif UUM perlu jelas.

Terdapat lapan Dasar dan Hala Tuju UUM yang telah dirancang dan dijadikan panduan dalam menentukan perancangan Pelan Strategik Fasa IV bagi tempoh lima tahun akan datang mulai 2026 sehingga 2030 dalam usaha mencapai Visi UUM sebagai sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka.

Lapan Dasar dan Hala Tuju tersebut adalah Pengurusan Pendidikan, Kecemerlangan Global (Merangkumi Akademik, Pencapaian Pelajar dan Staf), Kecemerlangan R.I.C.E.S, Kelestarian atau Living Campus (Pengukuhan Infrastruktur dan Infostruktur), Kemampanan Kewangan (Pendanaan, Penjanaan dan Penjimatan), Penyediaan Bakat (Alumni, Pelajar dan Staf), Transformasi Sosial (Komuniti dan Industri) serta Governan dan Kepimpinan.

Beliau turut menerangkan tentang pengisian Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Fasa IV Siri 1: Bersama Majlis Profesor anjuran Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK) di mana pembangunan dan perancangan Pelan Strategik Fasa IV pada kali ini menggunakan konsep “Vision-Driven Planning” (Perancangan Berpandukan Visi).

Menurutnya, hasil daripada bengkel tersebut, pemetaan (mapping) akan dibuat pada setiap peringkat supaya dapat memberi impak kepada pengukuran di peringkat pencapaian Visi UUM.

Katanya, pada Bengkel Majlis Profesor yang lalu juga telah berjaya merancang dan menetapkan tiga fokus utama sebagai tonggak utama dalam pelaksanaan Pelan Strategik Fasa IV bagi tempoh lima tahun akan datang dalam usaha mencapai Visi UUM iaitu Penjenamaan UUM (UUM Branding), Kelestarian Kampus dan Bakat.

“Saya yakin dan percaya dengan kebijaksanaan semua ahli yang hadir pada bengkel pada hari ini, kita dapat bersama-sama merangka, merancang dan menentukan strategi terbaik dalam usaha mencapai ketiga-tiga fokus ini,” katanya.

Bengkel diteruskan dengan taklimat Pengarah BPPK, Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf, diikuti sesi perbincangan dalam kumpulan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button