General

UUMKL santuni 120 anak yatim dan pelajar tahfiz melalui program CSR bersama KDEB Waste Management dan Right on Track

Berita dan gambar oleh Dr. Nabilaa Mohamed

SHAH ALAM, 9 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Right on Track Sdn. Bhd. telah menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui penganjuran Majlis Iftar Ramadan dan Serahan Baju Raya kepada anak-anak yatim serta pelajar tahfiz di Petals Event Hall, D’Event Management (DEFM), Seksyen 7, Shah Alam.

Program yang berlangsung sempena bulan Ramadan ini meraikan seramai 120 orang anak yatim dan pelajar tahfiz dari sekitar Shah Alam, yang terdiri daripada 65 orang anak yatim dan 55 orang pelajar tahfiz. Daripada jumlah tersebut, 50 orang anak yatim adalah daripada Rumah Anak Yatim Baitus Sofwah, manakala 15 orang lagi daripada Rumah Kasih Harmoni. Sementara itu, 55 orang pelajar tahfiz yang diraikan merupakan pelajar dari Rumah Tahfiz Seksyen 13.

Majlis ini merupakan program julung kali yang dilaksanakan melalui kerjasama tiga pihak, iaitu KDEB Waste Management, Right on Track Sdn. Bhd. dan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur, dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan serta membawa kegembiraan kepada mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Dato’ Haji Ramli Mohd Tahir, Pengarah Urusan KDEB Waste Management; En. Arif Fahmy Sulaiman Khan, Pengarah Urusan Right on Track Sdn. Bhd.; Prof. Dr. Norlena Hasnan, Provost Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur; serta Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman, Dekan Akademi UUM Kuala Lumpur.

Majlis turut dihadiri oleh Tn. Hj. Ahmad Rizal Mohd Daud, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management serta Tuan Mohd Idris Mohamed Yusof, Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management, di samping kehadiran ketua-ketua jabatan, ketua operasi cawangan, wakil anak-anak syarikat KDEBWM serta warga kerja organisasi tersebut.

Melalui program ini, KDEB Waste Management bersama Right on Track Sdn. Bhd. telah menaja pakaian Hari Raya dan juadah berbuka puasa kepada semua anak yatim serta pelajar tahfiz yang diraikan. UUMKL pula menyediakan sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti bagi membantu menyantuni para penerima sepanjang majlis berlangsung.

Penglibatan staf akademik serta pelajar siswazah UUMKL, termasuk pelajar daripada Persatuan Pelajar Siswazah (PGA UUMKL) sebagai sukarelawan, turut memainkan peranan penting dalam memastikan program berjalan lancar. Penglibatan ini juga memberi peluang kepada warga universiti untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.

Sepanjang majlis berlangsung, warga universiti, wakil industri serta para penerima turut bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta nilai empati yang ingin diterapkan melalui program ini.

Keseluruhan program CSR ini melibatkan jumlah penajaan sebanyak RM40,000, yang merangkumi penyediaan pakaian Hari Raya, juadah berbuka puasa serta pelaksanaan program kebajikan berkenaan.

Program ini turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), khususnya SDG 17: Partnerships for the Goals yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara pelbagai pihak, serta SDG 2: Zero Hunger dalam memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.

Selain itu, usaha menyantuni anak-anak yatim dan pelajar tahfiz ini juga selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya membantu serta mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Penganjuran program CSR ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor korporat, organisasi sosial dan institusi pendidikan tinggi seperti UUMKL mampu mewujudkan impak yang lebih besar dalam membantu masyarakat, di samping menyemai nilai kepedulian sosial dalam kalangan komuniti dan warga universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button