UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

10 maut bangunan runtuh di Aleppo

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

ALEPPO: Seramai 10 mangsa terbunuh apabila sebuah bangunan setinggi lima tingkat runtuh di kawasan Ferdaws di Aleppo, utara Syria semalam.

Menurut agensi berita SANA, mangsa terdiri enam wanita, tiga kanak-kanak dan seorang lelaki yang ditemui maut, manakala seorang wanita bersama seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan dari timbunan runtuhan dan dibawa ke hospital.

Komander polis, Mejar Jeneral Deeb Deeb memberitahu SANA bahawa pasukan pertahanan awam dan pihak berkuasa tempatan sudah memindahkan penduduk dari bangunan bersebelahan dan mula membersihkan sisa runtuhan.

Bangunan itu runtuh dipercayai kerana ‘kekurangan asas kejuruteraan yang kukuh pada tapak pembinaannya’ menurut laporan SANA yang memetik Ketua Majlis Perbandaran Aleppo, Maad Medlaji.

Runtuhan bangunan lima tingkat meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dalam kejadian di kawasan Ferdaws, Aleppo. Gambar AP

Katanya, ia terletak di kawasan di mana pembinaan rumah dilakukan secara haram dan banyak kediaman musnah akibat ‘serangan pengganas’ merujuk kepada perang saudara yang masih berlarutan.

Badan pemantau perang, Pemantau Hak Asasi Manusia Syrian berkata, bangunan yang runtuh itu terletak di kejiranan yang sebelum ini ‘dibom bertubi-tubi dan dihujani peluru berpandu’.

Konflik di Syria yang bermula pada 2011 setakat ini sudah meragut hampir setengah juta nyawa dan menyebabkan hampir separuh penduduk negara itu melarikan diri dari kediaman masing-masing. – AFP