UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Bicara Tunku bumikan pengetahuan dalam kalangan generasi muda

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin
Gambar Lembaga Muzium Negeri Kedah/UUM Today

ALOR SETAR, 22 Februari – Program Bicara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dianjurkan secara kolaborasi bersama dengan lima organisasi telah mengambil tanggungjawab untuk membumikan pengetahuan kepada anggota masyarakat.

Antara organisasi yang terlibat termasuklah Muzium Negeri Kedah, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dan Santai Mesra Sdn. Bhd.

Penolong Naib Canselor COLGIS mewakili Naib Canselor, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program Bicara Tunku ini dilaksanakan di Muzium Negeri Kedah yang melibatkan hampir 150 penyertaan.

Menurutnya, Program Bicara Tunku mampu mencakna kesedaran, pengetahuan dan amalan generasi muda khususnya tentang kehebatan dalam aspek kepimpinan tokoh pemimpin negara.

Tambahan pula, katanya, ia dapat menjana pemikiran yang kritis terhadap solusi berkaitan isu pentadbiran di bawah kepimpinan yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman seperti pemikiran yang kritis dan kreatif dalam kepimpinan akan dapat menyerlahkan potensi dan kekuatan organisasi agar terus bersaing secara sihat dan hebat dengan organisasi lain.

“Selain itu, peserta program dapat memahami corak kepimpinan dan dasar-dasar pembangunan Tunku Abdul Rahman semasa zaman pemerintahannya dan berpeluang untuk bertanya soalan bagi mengukuhkan kefahaman.

“Refleksi daripada kisah teladan tersebut dapat menyuntik semangat dan membentuk kewibawaan dalam diri pemimpin hari ini,” katanya.

Bagi mengetahui lebih dalam tentang Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama, pihak penganjur telah mengambil inisiatif untuk menjemput tiga orang panel bagi membincangkan tentang pelbagai ceritera kepimpinan Tunku Abdul Rahman.

Panel pertama yang merupakan cucunda Tunku Abdul Rahman iaitu Tunku Muinuddin Putra Tunku Ahmad Nerang membincangkan tentang kisah keperibadian terpuji Almarhum Tunku. Dua panel lain yang dijemput adalah Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri dan seorang ahli Sejarah, Dr. K. Nadaraja.

Tunku Abdul Rahman diputerakan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar dan merupakan putera ke-20 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24 dan isteri beliau iaitu bonda kepada Tunku Abdul Rahman bernama Makche Menjalara.

Bonda Tunku Abdul Rahman merupakan seorang keturunan Thai anak kepada Luang Nara Borirak (Kleb), keturunan Chao Phya Maha Kota, Ketua Negeri Mataban dalam jajahan Siam di Shan Utara Thailand.

Sementara itu, dalam aluan Pengarah Muzium, program ini dapat membantu anggota masyarakat untuk lebih memahami usaha dan strategi yang telah direalisasikan oleh Muzium Negeri Kedah berkaitan dengan isu pemuliharan, perkongsian kisah dan sumbangan Tunku Abdul Rahman kepada negeri Kedah khususnya dan negara Malaysia amnya.

Menurutnya, hasil Lukisan Mix Media Wajah Tunku Abdul Rahman menggunakan paku disiapkan oleh pereka grafik, Badrul Amin pada 2017 juga akan turut dipamerkan pada hari berkenaan, sekali gus menjadi yang pertama dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Katanya, Lukisan Mix Media ini telah menggunakan 6,285 paku dan mengambil masa selama 720 jam untuk disiapkan. Ketukan paku yang terakhir adalah tepat pada 31 Ogos 2017.

Satu lagi elemen menarik di dalam program ini adalah ‘Baju Yang Boleh Bercerita’ yang menggunakan konsep jenama MANTRA. Mantra Tunku Abdul Rahman akan ‘dihidupkan’ semula melalui teknologi AR (Augmented Reality) dibawa khas oleh Santai Mesra Sdn. Bhd.

Program ini merupakan satu usaha dan perjuangan menobatkan nama pemimpin-pemimpin negara dan ia tidak hanya akan bermula dan bernokhtah di sini. Justeru, program yang membicarakan tentang tokoh-tokoh terkemuka negara dan sumbangannya harus terus dibajai dan diwarnai lagi dengan sokongan yang optimum daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Akhir program turut diadakan segmen pop kuiz dan cabutan bertuah di mana pemenang menerima hadiah Santai Mesra Sdn. Bhd.