UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Gabenor Songkhla harap Pusat Kerjasama UUM disegerakan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SONGKHLA, 28 April – Bagi meluaskan jaringan antarabangsa khususnya di Selatan Thailand, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kerjasama selama 3 hari 2 malam bermula di Songkhla, diikuti Pattani dan Satun.

Pada hari pertama, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dan delegasi UUM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw di sini, hari ini.

Antara pengisian perjumpaan itu adalah bagi membincangkan kerjasama antara UUM dan Songkhla dalam bidang pendidikan tinggi dan pada masa sama proses perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran dapat berlangsung melalui pelbagai medium.

Dr. Mohd Foad (dua, kiri) membincangkan tentang potensi kerjasama yang boleh dijalankan antara UUM dan Wilayah Songkhla dengan Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw.

Dr. Mohd Foad berkata, lawatan UUM itu adalah untuk mengeratkan hubungan universiti ini dengan pihak pentadbiran Selatan Thailand sebagai negara jiran memandangkan UUM terletak bersempadan dengan negara jiran itu.

UUM mengalu-alukan kedatangan pelajar dari Selatan Thailand yang berminat untuk melanjutkan pengajian di UUM dengan menawarkan pelbagai bidang yang bersesuaian termasuk menawarkan kursus/program profesional jangka pendek yang diperakui seperti Halal dan ICT, Perniagaan Islam dan sebagainya.

Selain itu, melihat kepada kepentingan Bahasa Inggeris kini, UUM juga menawarkan kursus Bahasa Inggeris di kampus Sintok dan berhasrat untuk membuka Pusat Kerjasama UUM di Songkhla bagi guru-guru dan kakitangan kerajaan di Selatan Thailand.

Dr. Mohd Foad menyampaikan cenderamata kepada Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw, di sini, hari ini.

Sebagai persediaan untuk belajar di Malaysia khususnya, UUM turut menyediakan tempat kepada pelajar Selatan Thailand untuk menduduki Malaysia University English Test (MUET).

Sementara itu, Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw berharap UUM dapat menyegerakan pembukaan Pusat Kerjasama UUM di Songkhla terutama bagi meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar Thailand.

Menurutnya, beliau menyambut baik hasrat UUM untuk bekerjasama dengan Wilayah Songkhla demi manfaat bersama.

Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw berharap UUM dapat membuka Pusat Kerjasama UUM di Songkhla pada kadar segera.

Kerjasama UUM dengan pihak di Selatan Thailand ini adalah bagi merealisasikan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan dan juga bidang-bidang tumpuan yang boleh dipelopori bersama.