UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

“Jeneri Kami Bersamamu” motivasikan 87 pelajar SMK Jeneri

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Dr. Nor Azlah Sham Rambely

Gambar SLCP/UUM Today

JENERI, 29 Januari – ‘Ilmu, Budi, Bakti’ dengan slogan Universiti Utara Malaysia (UUM), warga Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) mengorak langkah menuju ke Jeneri, Sik untuk sama-sama membantu memberi khidmat kepada masyarakat.  

Program ini merupakan inisiatif SLCP dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeneri untuk menjayakan program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR). Program ini juga berlandaskan kepada isu yang dihadapi oleh pihak sekolah iaitu kadar ponteng sekolah yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Program ini mendapat sokongan penuh Dekan SLCP, Prof. Dr. Shukri Ahmad yang inginkan warga pusat pengajian sentiasa memberikan khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran kepada komuniti terutamanya pelajar-pelajar sekolah dalam membantu hala tuju masa depan pelajar.

Warga SLCP yang terdiri daripada enam pensyarah dan dibantu 27 fasilitator (pelajar-pelajar) telah berkampung di SMK Jeneri dan mengadakan aktiviti ilmiah berbentuk santai dalam menarik minat pelajar berkongsi permasalahan yang mereka alami selama ini.

Pensyarah kanan, Dr. Nor Azlah Sham Rambely berkata, pelajar yang terdiri daripada pelbagai aliran seramai 87 pelajar sangat teruja menjalani aktiviti yang telah diadakan.

Menurutnya, program ini berjaya membuka minda pelajar untuk lebih berusaha ke arah kejayaan, di samping mengumpul maklumat-maklumat berguna untuk pihak SLCP merangka program yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar.

“Saya berterima kasih kerana pihak sekolah sentiasa memberi sokongan pembelajaran dengan program-program sebegini.

“Keterlibatan pihak SLCP, UUM ini terutama dengan kehadiran mahasiswa sedikit sebanyak menyuntik semangat perjuangan pelajar-pelajar untuk berjaya menjadi insan yang cemerlang. Sesungguhnya hanya ilmu yang mampu untuk mengubah nasib seseorang,” katanya.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Jeneri, Suhana Jaafar yang berharap agar program sebegitu dapat diteruskan kerana sambutan yang amat menggalakkan.

Beliau turut menyatakan bahawa program ini memberi banyak manfaat terutama dari segi ilmu, spiritual dan rohani yang mampu memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar SMK Jeneri untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh demi sebuah kejayaan terutama mereka bakal menduduki peperiksaan penting pada 2024 nanti.

“Berbekalkan nasihat yang berguna mereka juga diharapkan agar dapat menjadikan sekolah sebagai tempat menimba pelbagai ilmu dan mengurangkan masalah ponteng yang sering berlaku,” katanya.