UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

KPT fokus lima agenda, 20 matlamat

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan lima fokus utama dan memperkenalkan landasan hala tuju baru dengan menetapkan 20 matlamat yang sejajar dengan pelan pembangunan strategik.

Lima fokus utama itu merangkumi Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi, Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan, dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Mohd Zambry Abd Kadir berkata, sementara 20 landasan hala tuju KPT dirumuskan hasil interaksi, perbincangan, dan diskusi dengan pelbagai pihak yang pastinya menuju ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu sebagai lanjutan dan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 yang akan tamat pada tahun hadapan.

“Oleh itu, saya minta supaya pelan baharu yang akan dibangunkan ini mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang lebih menyeluruh,”katanya dalam ucapan pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Dewan Tunku Cancelor, Universiti Malaya (UM).

Ucapan beliau turut disaksikan secara langsung di DKG 2/1 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dihadiri pemimpin pelajar, pengetua dan staf UUM.

Beliau juga mengajak warga KPT untuk menerapkan nilai kesegaran dalam tindakan sehari-hari.

Menurutnya, pemakaian prinsip “kaizen” sebagai sebahagian daripada budaya KPT diharapkan akan membawa kepada penambahbaikan berterusan.

Katanya, langkah itu menggambarkan komitmen untuk mencipta persekitaran yang dinamik dan terus berkembang di dalam kementerian.

“Lebih dari sekadar satu perubahan struktural, KPT juga akan menggandakan usaha dalam mempromosikan budaya penambahbaikan berterusan,” katanya.

Dr. Mohd Zambry berkata lagi, dengan langkah-langkah proaktif ini, KPT mengejar untuk menjadikan pendidikan tinggi di negara ini sebagai pemacu utama untuk inovasi, pembangunan, dan penyebaran ilmu pengetahuan.

Menurutnya, inisiatif tersebut diharapkan akan mencorak masa depan pendidikan tinggi negara dengan memberikan peluang dan sumber daya yang lebih baik bagi mahasiswa dan penyelidik.

Beliau turut mengajak semua warga KPT bersama-sama bergandingan mengorak usaha menggemilangkan wibawa pendidikan tinggi negara dengan semangat kerja berpasukan dan prestasi kerja yang cemerlang.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Ts. Mustapha Sakmud; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)