UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Kuasai teknik penulisan supaya berjaya diterbitkan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Nor Arpizah Atan

Gambar Muhamad Asri Hanafi/UUM Today

SINTOK, 23 Januari – Pengalaman membaiki penulisan adalah proses pembelajaran yang akan mematangkan kita dalam aspek penulisan sama ada artikel jurnal atau buku. 

Kadang kala penulis berasa “syok sendiri” dengan penulisan yang dihasilkan namun tidak nampak kelemahan sendiri.  Penulis tidak harus berputus asa jika diminta untuk membaiki penulisan.

Perkara ini dilontarkan oleh Prof. Dr. Arsaythamby Veloo yang menjadi pembimbing bengkel anjuran UUM Press dan Sidang Pengarang Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pendidikan (SoE).  

Bengkel dua hari yang bertajuk “Writing a Winning Paper for Journal Publication” itu telah diadakan pada 17 dan 18 Januari 2024 di Bilik Saujana, Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut Dr. Arsay, menulis untuk artikel jurnal berbeza dengan kaedah menulis tesis.  Asas menulis objektif untuk kajian penyelidikan berbeza dengan objektif penulisan artikel jurnal, ‘aim‘ dan ‘purpose‘ berbeza.   

Di samping itu, katanya, penulis perlu menetapkan dan memilih salah satu sahaja aspek sama ada Objektif Kajian, Persoalan Kajian atau Hipotesis dalam kajian masing-masing. 

“Kriteria utama sesebuah makalah jurnal iaitu Tajuk, Abstrak, Pengenalan, Sorotan Kajian, Metodologi, Kesimpulan dan Rujukan perlu difahami oleh akademia dan penyelidik sebelum menghasilkan artikel untuk jurnal.

“Penerbitan jurnal berimpak tinggi dan sitasi merupakan dua aspek utama untuk meningkatkan ranking Universiti. Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI) sebagai jurnal berindeks Scopus (Q1) perlu mempertimbangkan cara dan strategi bukan sahaja untuk mengekalkan status indeks Scopus, malah perlu meningkatkan prestasi dan Jurnal Impak Faktor agar diindeks dalam Web of Science,” katanya.

Pada sesi terakhir bengkel, Dr. Arsay telah membantu peserta secara ‘one-to-one‘ di mana peserta berpeluang membuat penambahbaikan penulisan dengan mengambil kira cadangan yang diberikan dan seterusnya menghantar untuk pertimbangan jurnal MJLI.

Bengkel yang dihadiri oleh 30 pensyarah UUM ini telah dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman dan turut hadir ialah Timbalan Pengarah UUM Press, Rosma Ishak.