UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Noh Hujan dan Musa Nuwayri kongsi pengalaman misi kemanusiaan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

SINTOK: Isu kemanusiaan tidak seharusnya dilihat dari aspek perjuangan agama semata-mata, namun harus dilihat daripada konteks kemanusiaan sejagat.

Oleh itu, Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program ‘Journey to Compassion: Uniting for Humanity‘ yang menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman daripada panel jemputan iaitu selebriti, Noh Salleh yang juga aktivis kemanusiaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman untuk memupuk kesedaran semua pihak tentang isu tersebut.

Kedua-dua tetamu ini telah berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri saat getir dan kesengsaraan rakyat Syria sepanjang menjalankan misi kemanusiaan di sana.

Menurut Noh, Misi Musim Sejuk CSM pada mulanya disertai kerana ‘paksaan’, namun sebaik sahaja melihat sendiri penderitaan yang dialami oleh mangsa peperangan di Syria, pengalaman itu menginsafkannya dan bersemangat untuk meneruskan misi kemanusiaan.

“Kehidupan di Syria jauh berbeza dengan di Malaysia. Mereka berjuang untuk terus hidup. Tiada masa untuk memikirkan hal remeh temeh seperti hiburan yang melalaikan. Sedih melihat penderitaan pelarian Syria yang kebanyakkannya terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan kanak-kanak yang menjadi OKU disebabkan peperangan,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi detik-detik cemas ketika berada berhampiran dengan tempat serangan bom yang telah membunuh seorang kanak-kanak perempuan dan menyebabkan 20 yang lain cedera parah.

Ahmad Musa Al-Nuwayri juga turut berkongsi cabaran yang dihadapi dalam memperjuangkan hak kemanusiaan di Syria, malah beliau pernah dihantar pulang ke tanah air dan dilarang memasuki ke Jordan selama lima tahun di saat beliau hanya tinggal satu semester lagi untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Usul Fiqh, sekali gus memberi tamparan hebat kepadanya.

Mengenang pengalaman pahit dilalui, Ahmad Musa menceritakan betapa tertekannya dan hampir berputus asa selama enam hari lima malam di penjara. Namun, segala perasaan negatif itu sirna ketika beliau melihat ibu bapa datang menyambutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, lebih menyentuh hati apabila mereka tidak memarahinya, sebaliknya memberikan nasihat bahawa perjuangan yang terhenti di Jordan boleh diteruskan di negara ini termasuk menyambung pengajian. Kepulangannya ke tanah air kembali menghidupkan semangatnya untuk membela nasib pelarian.

Pada majlis sama turut diadakan Pelancaran Tabung Kutipan Kemanusiaan yang disempurnakan oleh Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman sebagai salah satu usaha membantu dan meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat Palestin khususnya.

Hasil kutipan akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. – Nur Hidayah Abdullah