ALOR SETAR: Fenomena air pasang mula melanda di beberapa kawasan di negeri ini, antaranya Kuala Kedah.
Tempat yang dinaiki air adalah Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Taman Kota Nelayan dan Jalan Tok Pasai, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam (PA) Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, hasil pemantauan anggota APM tengah hari tadi mendapati paras air meningkat sehingga 2.95 meter, melebihi bacaan ramalan iaitu 2.9 meter.

Menurutnya, paras air itu menunjukkan peningkatan kesan daripada air pasang besar yang melanda hingga menyebabkan kira-kira 30 rumah penduduk dan gerai-gerai berdekatan tepi laut termasuk kawasan rendah telah dimasuki air.
Bagaimanapun, katanya, keadaan masih terkawal dan pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan di beberapa lokasi berisiko.
“Saya juga menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk fenomena air pasang besar,” ujarnya.
Difahamkan fenomena air pasang di Kuala Kedah dan beberapa kawasan lain yang berdekatan laut dijangka berlarutan sehingga Ahad depan dengan catatan paras air paling tinggi adalah pada hari ini.
Pusat Hidrografi Nasional memaklumkan fenomena itu akibat pengaruh daya tarikan graviti bulan dan matahari.