UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sentuhan Kasih KOMPaS bukti kesungguhan dekati komuniti

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Dr. Nursafwah Tugiman dan Amera Hanna Mohd Tajuddin

Gambar Penyelidik dan Duta KOMPaS/UUM Today

SINTOK, 4 Februari – Universiti untuk komuniti sebuah inisiatif penting yang bertujuan untuk membawa pendidikan tinggi lebih dekat dengan masyarakat dan memberi manfaat langsung kepada komuniti.

Sentuhan Kasih KOMPaS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai merupakan salah satu cara Universiti Utara Malaysia (UUM) memainkan peranan terhadap pembangunan komuniti yang memberi fokus membangunkan murid sekolah di luar bandar untuk terus kekal dalan sistem pendidikan sehingga memperoleh sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program Sentuhan Kasih KOMPaS diketuai oleh Dr. Mohd Fairuz Jafar dari Pusat Pengajian Pendidikan bersama pensyarah dan duta-duta KOMPaS yang terdiri daripada pelajar dari Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) telah memberi sentuhan akhir kepada murid Permata KOMPaS iaitu kumpulan murid terpilih dalam program KOMPaS yang akan menduduki peperiksaan SPM bermula 29 Januari 2024.

Dr. Mohd Fairuz berkata, kehadiran penyelidik dan duta-duta KOMPaS ke SMK Jerai menyuntik semangat juang anak-anak Permata KOMPaS untuk berusaha gigih bagi mencapai kejayaan dalam SPM.

Menurutnya, luahan rasa dari perkongsian anak-anak Permata KOMPaS memberi kesan mendalam kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini kerana kesedaran terhadap pendidikan yang dipupuk dan keinginan kepada kejayaan untuk merubah nasib diri dan keluarga kepada kehidupan yang lebih baik melalui pendidikan menjadi cerminan bermakna impak program KOMPaS sejak 3 tahun dilaksanakan kepada masyarakat di komuniti SMK Jerai.

Program KOMPaS yang diketuai Prof. Dr Rosna Awang-Hashim dengan gabungan kepakaran dari tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Pendidikan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Pusat Pengajian Pengkomputeraan bukan sekadar sebuah aktiviti penyelidikan, tetapi matlamat yang lebih besar ialah membangunkan murid terpilih dari komuniti luar bandar yang terbelenggu dalam kepompong kemiskinan untuk diangkat ‘dignity’ mereka melalui pendidikan. Usaha ini bersifat jangka panjang dan menjadi bukti peranan akademia untuk masyarakat.