Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today
ALOR SETAR: Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Norizan Khazali di pejabat beliau di Wisma Darulaman, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan tentang peluang kolaborasi yang dapat dilaksanakan antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerajaan negeri menerusi sembilan potensi program yang ditawarkan.
Sembilan potensi kolaborasi iaitu ialah program MENTOR, program DUTA, program PEMIKIR, program BIJAK, program MEKAR, program IKHLAS, program EMAS, program Kecemerlangan Pelajar dan program PAKSI.
Di samping itu, turut dibincangkan tentang usaha sama dalam bidang pengurusan, pendidikan dan juga bidang yang berkaitan dengan pembangunan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) termasuk tawaran melanjutkan pengajian di UUM.

Selain itu, Haim Hilman turut memberikan taklimat berkenaan perancangan UUM untuk mengadakan Program Kembara Diraja Kedah 2023 yang dijadualkan pada Mac atau Mei tahun depan serta taklimat tentang program-program yang melibatkan komuniti dan masyarakat setempat menerusi program 1 Pusat Pengajian 1 Daerah (1PP1D) dan MEKAR.
Beliau berkata, UUM menawarkan kepakaran yang dimiliki dengan hasrat untuk membantu kerajaan negeri Kedah dalam usaha melonjakkan negeri jelapang padi itu ke peringkat lebih tinggi lagi dalam pelbagai aspek.
Di akhir pertemuan, Norizan berkata, beliau berterima kasih kepada UUM yang sudi datang untuk berbincang tentang peluang kerjasama tersebut, selain akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan.