UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

UUM teruskan kerjasama dengan PKT Logistics

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

BANDAR CASSIA, 7 Mac – Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan kolaborasi dengan PKT Logistics Group Sdn. Bhd. setelah lebih 10 tahun bekerjasama.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, UUM dan PKT Logistics telah bekerjasama dalam pelbagai bidang sejak sekian lama.

Menurutnya, bagi memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada, UUM akan terus mengadakan program pemindahan ilmu universiti-industri antara UUM dan PKT Logistics.

Katanya, peluang latihan industri sedia ada di PKT Logistics juga akan diperluaskan lagi khususnya kepada pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) terutamanya di PKT Logistics, Bukit Kayu Hitam yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke The Ship Campus, PKT Logistics dan juga 12 Waves Warehouse di Batu Kawan, hari ini.

Di samping itu, Naib Canselor juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam Program Jom Bekerja Sambil Belajar (JBSB) di PKT Logistics Bukit Kayu Hitam yang mampu memberi pendedahan industri kepada pelajar UUM.

Selain meneroka lebih banyak peluang pekerjaan di PKT Logistics bagi graduan UUM yang berkelayakan, peluang kerjasama lain yang mampu diteroka adalah melalui pelaksanaan program APEL yang melibatkan pekerja di kawasan perindustrian sekitar Bandar Cassia yang berminat untuk melanjutkan pengajian dengan kerjasama UUM dan Peninsular College, seterusnya kerjasama dalam program pembangunan komuniti dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara UUM dan PKT Logistics.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio berkata, beliau gembira dengan kerjasama sedia ada antara PKT Logistics dan UUM, malah berhasrat untuk terus menggiatkan lagi usaha kolaborasi sedia ada.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk menggiatkan lagi program CEO@Faculty dan menyarankan setiap pusat pengajian di UUM harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang CEO dari industri.

Beliau juga menyarankan pelaksanaan latihan industri berstruktur bagi memberi pendedahan industri yang lebih baik kepada pelajar.

Hadir sama dalam lawatan ini adalah Dekan STML, Prof. Madya Dr. Najib Salleh; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Ts Mohd Kamarul Irwan Abd Rahim; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman serta beberapa pensyarah kanan STML.