Pasukan Badminton UUM muncul juara Kejohanan Badminton Piala Pendaftar UPSI
Gambar Anis Afifah Asmady
TANJUNG MALIM, 1 September 2025: Pasukan Badminton Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul Juara Keseluruhan dalam Kejohanan Badminton Piala Pendaftar UPSI di Star Wellness Hub, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung pada 30 Ogos lalu.
Pasukan UUM telah menunjukkan prestasi luar biasa dengan pencapaian di mana tiga pasukan beregu kategori Wanita Senior, Veteran Wanita dan Beregu Campuran telah merangkul gelaran juara, manakala Beregu Lelaki Senior dinobatkan sebagai naib johan.
Beregu Wanita Senior diwakili oleh Siti Norlia Mazlan dan Anis Afifah Asmady, Beregu Veteran Wanita diwakili oleh Aiza Irmalinda Ariffin dan Norhamizah Hashim, Beregu Campuran diwakili oleh pasangan, Shukhairy Kamarulzaman dan Aiza Irmalinda Atiffin, manakala Beregu Lelaki Senior diwakili oleh Fairul Haizal Ramli dan Shukhairy Kamarulzaman.
Pengurus Pasukan, Mohamad Nizwan Awang dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK), serta Pusat Sukan UUM atas sokongan padu dan peluang yang diberikan untuk menyertai kejohanan ini.
Menurutnya, pasukan badminton UUM akan terus mempamerkan aksi cemerlang mengharumkan nama universiti dalam kejohanan akan datang.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan! Semoga terus maju jaya dan mengharumkan nama UUM di pentas sukan kebangsaan dan antarabangsa. – Aiza Irmalinda Ariffin