Sports

Pasukan Sofbol UUM ‘INVICTUS’ raih tempat ketiga di Piala Ahli Majlis MBSP 2025

Gambar Pasukan Sofbol UUM

PULAU PINANG, 8 Disember 2025: Pasukan Sofbol Universiti Utara Malaysia (UUM), INVICTUS mencipta satu lagi sejarah baharu apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Sofbol Tertutup: Piala Ahli Majlis MBSP Kali Pertama 2025, yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sama Gagah, Permatang Pauh pada 5 hingga 7 Disember lalu.

Kejohanan anjuran Kelab Union Sofbol Penang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu menghimpunkan 8 pasukan lelaki yang bersaing sengit sepanjang pertandingan.

Kejayaan ini amat bermakna buat UUM kerana ini merupakan pingat pertama selepas kemarau sejak sekian lama.

Pasukan UUM INVICTUS, yang dibarisi 19 pemain di mana 15 pemain terdiri daripada pelajar UUM, dipimpin oleh Muhammad Najmi Alif bin Hairudin, yang bertindak sebagai ketua pasukan.

Najmi Alif berkata, meskipun telah menyertai banyak kejohanan sebelum ini tanpa hasil yang diharapkan, mereka tetap bersemangat dan bekerja keras demi mengharumkan nama universiti.

Menurutnya, penyertaan ke Kejohanan Sofbol Tertutup MBSP 2025 ini hanyalah untuk meraih beberapa kemenangan, namun rezeki tidak pernah salah alamat apabila usaha gigih itu akhirnya menghadiahkan kedudukan tempat ketiga.

“Semua kejayaan ini pastinya tidak akan tercapai tanpa usaha, komitmen dan ketegasan jurulatih yang memainkan peranan penting dalam membentuk pasukan yang mantap, berdisiplin dan kompetitif.

“Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kedua-dua jurulatih atas tunjuk ajar dan sokongan yang tidak pernah putus, serta kepada Penasihat Kelab Sofbol UUM, Mohd Iswandi Abdul Wahab atas komitmen yang diberikan kepada semua pemain,” katanya.

Melangkah ke hadapan, pasukan bertekad untuk terus membangunkan bakat serta memperkukuh kemampuan setiap pemain sebagai persiapan menghadapi MASUM 2026 dan SUKIPT 2026, yang dijangka dianjurkan pada tahun hadapan. – Azizi Arif

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button