Tech

Projek UniMADANI tanaman cili, akuaponik berjaya bantu masyarakat  

SINTOK, 26 Februari 2025: Dalam memperkasakan pembangunan komuniti setempat, Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil dengan dua program di bawah inisiatif Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI.

Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah berkata, UUM menerima peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan dua projek iaitu Projek Tanaman Cili Fertigasi yang diketuai oleh Dr. Rozana Samah dan Projek Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik (PEKA) yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal Rajemi.

Ujarnya, Projek PEKA memberi manfaat kepada 30 peserta sekitar Changlun, Kulim dan Kem Angkatan Tentera manakala Projek Tradisi-Cili melibatkan 25 peserta di Kampung Tradisi, Changlun.

“Projek komuniti yang akan diserahkan pada hari ini bukanlah sekadar sebuah inisiatif akademik semata-mata, tetapi ia merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan, Universiti Awam (UA) sentiasa berusaha untuk menyumbang lebih daripada sekadar ilmu pengetahuan. Universiti perlu memainkan peranan aktif dalam memajukan komuniti di sekitar kita melalui khidmat kepakaran dan pemindahan ilmu kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada Majlis Penyerahan Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI, semalam.

Ujarnya, kedua-dua projek ini dijangka dapat menjana pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM600 sebulan dan membuka peluang pekerjaan dalam sektor pertanian moden.

Beliau berbangga dengan impak yang diterima oleh komuniti melalui program ini dan memuji kerjasama erat antara UUM dan komuniti setempat.

“Saya berharap UUM terus memberi komitmen memperkasa lagi inisiatif sebegini dengan melaksanakan lebih banyak program yang dapat memberi impak positif kepada komuniti di luar sana,” ujarnya.

“Besar harapan saya agar semua peserta dan komuniti yang terlibat dapat meneruskan usaha ini dengan semangat yang tinggi, berbekalkan ilmu dan kemahiran yang telah diperoleh, untuk terus berkembang dan maju bersama-sama.

“Ini adalah satu contoh nyata bagaimana kerjasama antara universiti, kerajaan, dan masyarakat dapat menghasilkan perubahan yang besar dan bermakna,” ucapnya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Universiti tidak seharusnya hanya dilihat sebagai wadah akademik untuk menimba ilmu sahaja, sebaliknya ia juga perlu berfungsi dalam komuniti melalui khidmat kepakaran kepada pembangunan masyarakat.

Program ini turut menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan belia yang tidak bekerja atau tidak melanjutkan pelajaran. 

“Syabas saya ucapkan kepada Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM yang telah menggerakkan program ini yang dapat memberi manfaat kepada komuniti. 

“Tahniah juga diucapkan kepada pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal dan Dr. Rozana. Projek yang diberi tempoh selama 6 bulan telah berjaya disiapkan dengan memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Pemilihan Kampung Tradisi ini adalah sebahagian daripada perancangan Universiti Utara Malaysia melalui Projek Transformasi Changloon iaitu satu inisiatif penting yang bakal membawa Changlun ke arah pembangunan dan kemajuan yang lebih bermakna.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button