Tech

Reka Cipta Tangan Robotik uji Kreativiti,  tarik minat pelajar 

YAN, 23 Jun 2025: Sekumpulan 52 pelajar yang terdiri daripada Tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan Dulang, Yan telah berjaya mencipta tangan robotik menggunakan bahan terpakai seperti kertas, straw dan benang, dalam Program STI 1003 Kitaran 1.5 anjuran MOSTI.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Program STI 1003 Kitaran 1.5 yang telah diketuai Dr. Ayu Abdul Rahman dan dibantu oleh Yuhaniz Ahmad, Norhafiza Mohd. Noor dan Zakiah Hashim, pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM.

Reka cipta tangan robotik ini bertujuan memupuk kreativiti dan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sejak usia muda selain menerapkan pemikiran kreatif serta memperkenalkan konsep robotik asas kepada pelajar melalui pembelajaran berasaskan projek.

Dalam aktiviti tersebut, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberikan bahan-bahan terpakai untuk membina tangan robotik. Mereka dikehendaki mereka bentuk struktur tangan yang mampu meniru pergerakan sebenar jari manusia menggunakan prinsip tuas dan tarikan.

Setiap kumpulan perlu memastikan tangan robotik yang dihasilkan berfungsi dengan baik. Pelajar berasa teruja belajar bagaimana tangan manusia berfungsi dan bagaimana mereka boleh menirunya dalam bentuk robotik. Seterusnya, keberkesanan fungsi tangan robotik ini juga diuji dengan permainan sukaneka.

Selepas selesai permainan, pelajar mula memahami kelemahan ciptaan masing-masing. Seterusnya mereka memberi cadangan bagaimana untuk membuat penambahbaikan terhadap cipitaan tangan robotik.

Selain menguji kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah, aktiviti ini juga berjaya menggalakkan pelajar bekerjasama secara berpasukan.

Aktiviti reka cipta seperti ini dapat mengajar pelajar tentang asas mekanisme dan mampu mencetus minat mereka dalam bidang sains dan teknologi. Diharapkan dengan adanya pendekatan amali seperti ini, pelajar akan lebih tertarik untuk meneroka kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan inovasi. – Zakiah Hashim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button