Dedah potensi ekonomi gig
Alor Setar – Pertumbuhan pesat sektor logistik mencipta banyak peluang pekerjaan gig yang boleh diterokai oleh anak muda terutamanya pelajar kolej vokasional, diploma dan universiti.
Ekonomi gig ialah pekerjaan yang dilakukan secara bebas tanpa bergantung kepada majikan atau syarikat. Biasanya pekerjaan di bawah ekonomi gig dilakukan sebagai kerja sambilan, kontrak atau bebas.
Pengarah Projek, Gan Chong Sheng berkata, ekonomi gig misalnya pemandu e-hailing seperti Grab, Air Asia Ride, MyCar dan penghantar kurier seperti ShopeeExpress, Ninja Van, dan Lalamove.
Menurutnya, walaupun ekonomi gig semakin berkembang namun berdepan masalah kekurangan pekerja.
“Menariknya ekonomi gig sangat fleksibal, bebas mengatur waktu kerja dan peluang menjana pendapatan tambahan atau menjadi kerjaya utama.
“Jika dilakukan dengan serius ekonomi gig bukan sekadar pekerjaan sementara, tetapi sebagai laluan untuk menjadi usahawan dalam bidang logistik di samping mempelajari kemahiran baru dan membina rangkaian yang kukuh.
Misalnya sebuah syarikat telah menyerap pekerja gig sebagai staf tetap sekali gus menunjukkan peluang peningkatan kerjaya dari pemandu e-hailing ke jawatan yang lebih tinggi.
“Syarikat itu komited melatih tenaga pekerja dari peringkat gig, menyediakan laluan untuk pembangunan kerjaya yang lebih stabil dan manfaat pekerja penuh,” ujarnya sempena program Pengenalan Kepada Bidang Logistik.
Program kerjasama bersama Kelab Logtrans, STML, UUM itu juga bagi melengkapkan kerja kursus BPMG3023 Pengangkutan dan Masyarakat.
Menerusi acara ini, 18 mahasiswa UUM mendedahkan Kepentingan Pekerjaan Gig dalam Logistik kepada pelajar tentang potensi sebagai pekerja gig yang menjana pendapatan semasa cuti semester atau kerja sambilan.
“Melihat kepada potensi dan manfaat pekerjaan gig kami menggalakkan pelajar melibatkan diri melalui pekerjaan gig dalam bidang logistik untuk menjana pendapatan dan menikmati banyak faedah demi masa depan anda,” jelasnya di hadapan 120 pelajar Kolej Vokasional Alor Setar.
Sementara itu, Pengarah, Kolej Vokasional Alor Setar, Azizah Mat Daud mengalu-alukan kerjasama menerusi program pemindahan ilmu yang memberi nilai tambah dan maklumat berguna kepada para pelajar seiring perkembangan zaman.