Uncategorized

Nuran Mini Spa Incubator Hub

SINTOK, 29 Oktober 2024 – Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) sedang giat melakukan persiapan untuk melancarkan program ‘Nuran Mini Spa Incubator Hub’ sebagai sebahagian daripada usaha menjayakan agenda keusahawanan sosial yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah projek ‘University Community Social Enterprise’.

Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif penting yang bertujuan untuk memupuk semangat keusahawanan sosial di kalangan komuniti universiti serta masyarakat setempat.

“Dengan kerjasama erat antara CEDI dan Pusat Islam UUM, ‘Nuran Mini Spa Incubator Hub’  menyediakan platform bagi usahawan muda untuk memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan spa, sambil menyumbang kepada pembangunan sosial masyarakat.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan usahawan yang berkemahiran dalam industri kecantikan, tetapi juga mengintegrasikan nilai-nilai keusahawanan sosial yang berlandaskan prinsip Islam.

“Kami percaya melalui program ini, usahawan bukan sahaja dapat memajukan perniagaan mereka tetapi juga memberikan impak positif kepada komuniti, khususnya golongan wanita dan belia,” ujarnya.

Selain itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, turut menegaskan komitmen Pusat Islam dalam mendukung usaha ini.

“Program ‘Nuran Mini Spa Incubator Hub’ adalah selari dengan visi Pusat Islam untuk membangunkan masyarakat yang seimbang dari segi ekonomi dan spiritual.

“Kami percaya bahawa keusahawanan sosial yang berasaskan prinsip Islam dapat membawa kesejahteraan kepada individu dan masyarakat,” katanya.

Program ini juga akan menyediakan latihan intensif, bimbingan professional oleh penyelaras keusahawanan sosial CEDI,  Fatin Athirah Fadzillah, serta peluang untuk peserta mempraktikkan ilmu yang diperolehi dalam perniagaan sebenar.

Diharapkan, melalui sokongan yang berterusan daripada CEDI dan Pusat Islam, program ini akan menjadi model kejayaan keusahawanan sosial yang dapat diperluaskan ke seluruh negara.

Dengan pelaksanaan ‘Nuran Mini Spa Incubator Hub’, CEDI dan Pusat Islam UUM berharap untuk terus menyokong agenda keusahawanan sosial KPT, sekaligus menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan ekonomi dan sosial melalui pendekatan yang inklusif dan berimpak tinggi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button