IPIZ UUM sertai program Khutbah Jumaat bersama LZNK & Pusat Islam UUM
Berita dan gambar Ahmad Khalidi Abdul Halim
SINTOK, 7 Julai 2025: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Khutbah Jumaat yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Pusat Islam UUM bertempat di Masjid Sultan Badlishah, UUM.
Program istimewa sempena hari Jumaat yang mulia ini dimulakan dengan khutbah Jumaat bertajuk “Bangkitnya Ummah Dari Tangan Yang Memberi” yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Abdul Hadi bin Abd Majid, Pengarah Pusat Sedekah LZNK. Khutbah tersebut mengajak umat Islam untuk memaknai konsep bersedekah sebagai satu kekuatan ummah serta menjadi pemangkin kepada perubahan sosial yang lebih baik.
Turut berlangsung pada hari tersebut ialah pembukaan Kaunter Sedekah LZNK yang memberi peluang kepada jemaah untuk menyumbang secara tunai mahupun secara digital, sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif Sedekah RM1 yang giat digerakkan oleh LZNK di seluruh negeri Kedah. Menariknya, jemaah juga boleh melakukan sumbangan secara imbasan QR Code, menjadikan proses pemberian sedekah lebih mudah, cepat dan mesra teknologi. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha memodenkan kaedah kutipan agar lebih inklusif dan responsif terhadap gaya hidup masa kini. Program ini juga bertujuan memudahkan masyarakat melakukan amal kebajikan secara konsisten.
IPIZ tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam menjayakan program penuh keberkatan ini. Sebagai usaha memperkukuh budaya memberi dalam kalangan warga kampus, IPIZ telah turun padang menyertai agihan makanan dan minuman percuma kepada para jemaah selepas solat Jumaat. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk menyantuni masyarakat kampus, malah menjadi medan untuk memupuk nilai ihsan dan budaya berkongsi rezeki.
“IPIZ menyokong penuh usaha kolaboratif ini yang tidak hanya mendekatkan masyarakat dengan institusi zakat, tetapi juga membuka ruang kepada kita untuk menyemai semangat peduli dan cakna terhadap keperluan sesama insan,” ujar Ketua Program, Ahmad Khalidi Abdul Halim.
Melalui program sebegini, warga kampus dididik untuk memahami bahawa konsep sedekah bukan hanya terbatas kepada pemberian wang ringgit, bahkan mencakupi senyuman, bantuan tenaga, masa dan keprihatinan terhadap orang lain. Inisiatif seperti ini selaras dengan aspirasi UUM dalam membentuk komuniti kampus yang holistik dan seimbang dari aspek intelek, emosi dan spiritual.
IPIZ komited untuk terus menjadi rakan sinergi kepada agensi-agensi kebajikan dalam memperluaskan lagi impak sosial melalui program berasaskan nilai dan spiritual. Semoga usaha kecil ini menjadi benih kepada perubahan yang besar dalam membentuk ummah penyayang dan penyumbang.