Staf admin SLCP UUM santuni komuniti, agih bubur lambuk ke Sekolah Integrasi Bukit Kayu Hitam dan Madrasah Al-Quran Abdul Mu’izz
Gambar oleh: SLCP
SINTOK, 16 Mac 2026: Dalam usaha memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan nilai-nilai murni dalam kalangan penjawat awam, staf pentadbiran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya melaksanakan Program Kongsi Rezeki SLCP dengan pengagihan bubur lambuk pada 9hb Mac telah dilaksanakan di Sekolah Integrasi Bukit Kayu Hitam dan pada 16hb Mac di Madrasah Al-Quran Abdul Mu’izz.

Penganjuran program ini bukan sekadar aktiviti bermusim, malah ia merupakan satu inisiatif strategik di bawah payung Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang digerakkan oleh kakitangan perkhidmatan pusat pengajian. Menurut wakil pentadbiran SLCP, Puan Roshita Che Ani, program ini menjadi platform terbaik bagi staf untuk keluar seketika daripada rutin pejabat yang mencabar dan melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan yang memberikan impak terus kepada komuniti luar.
“Kami di SLCP percaya bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi bukan sahaja diukur melalui produktiviti kerja di pejabat, tetapi juga melalui sejauh mana kita mampu menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat di sekeliling kita.

Program USR ini adalah bukti keprihatinan kami sebagai penjawat awam terhadap institusi lain, terutamanya dalam sektor pendidikan,” ujar Puan Roshita ketika ditemui di tapak program.
Pemilihan Sekolah Integrasi Bukit Kayu Hitam dan Madrasah Al-Quran Abdul Mu’izz sebagai penerima 200 pek bubur lambuk ini dilakukan atas dasar ingin meraikan para pelajar dan warga pendidik di sekolah dan madrasah berkenaan.

Bukit Kayu Hitam juga merupakan kawasan jiran terdekat kepada kampus UUM Sintok, menjadi fokus utama bagi SLCP dalam membina rangkaian hubungan komuniti yang lebih inklusif. Kehadiran staf SLCP ke sekolah dan madrasah tersebut disambut baik oleh pihak pengurusan mereka, yang menyifatkan sumbangan tersebut sebagai satu tanda ingatan yang sangat bermakna.
Selain daripada aspek sumbangan makanan, program ini turut berperanan sebagai medan pengukuhan budaya kerja positif dalam kalangan staf pentadbiran. Nilai “Kongsi Rezeki” yang diangkat sebagai tema program bukan sahaja merujuk kepada perkongsian makanan, tetapi juga perkongsian tenaga, masa, dan kepakaran dalam menguruskan sebuah acara komuniti secara sukarela.
Program berakhir sekitar jam 2.00 petang setelah sesi penyerahan pek selesai sepenuhnya. – Zeety Kartini Abdul Hamid