Pelajar UUM terima bantuan pendidikan YaPEIM
GOMBAK: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.34 juta kepada 2,340 pelajar baharu universiti awam Malaysia sebagai sumbangan bantuan pendidikan dalam bentuk yuran pengajian di mana setiap penerima menerima RM1,000.
Turut hadir menerima bantuan tersebut adalah wakil pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima cek cura daripada YaPEIM bagi 110 pelajar UUM di Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan YaPEIM, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.
Majlis yang berlangsung Dewan Wadi Budi, UIAM itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Mohd Na’im Mokhtar.
Pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Muhammad Haziq Irfan Tajul Ashkeen melahirkan rasa bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini.
Menurutnya, dia akan memanfaatkan bantuan diberikan untuk menguruskan sesi pembelajaran sepanjang berada di UUM.
Seorang lagi pelajar UUM, Foong Wei Yeng dari Inapan Siswa MISC pula agak terkejut kerana tidak menyangka menjadi pelajar bukan Islam yang menerima bantuan ini.
“Saya tidak sangka dan memang terkejut kerana saya pelajar bukan Islam, tetapi turut mendapat bantuan ini.
“Saya berterima kasih kepada UUM dan YaPEIM kerana memilih saya dan peluang diberikan ini akan saya manfaatkan sepanjang berada di universiti,” katanya.
Muhammad Haziq dan Wei Yeng dipilih sebagai wakil pelajar UUM untuk gimik penerimaan bantuan pada majlis tersebut.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada YaPEIM atas keprihatin dalam membantu meringankan beban kewangan keluarga dan pelajar-pelajar UA yang kurang berkemampuan, khususnya pelajar-pelajar UUM.