UUM perkukuh jalinan industri bersama Bank Rakyat melalui School of Hard Knocks
Gambar oleh: Bank Rakyat
KUALA LUMPUR, Ogos 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha memperkukuh jaringan strategik universiti–industri menerusi lawatan jalinan kerjasama ke Bank Rakyat bagi meneroka peluang kolaborasi melalui Program School of Hard Knocks (SoHK).
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam aspek pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan serta penyediaan pelajar menghadapi keperluan sebenar industri, khususnya dalam sektor perbankan dan kewangan Islam.
UUM diwakili oleh Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) UUM, serta Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras Program School of Hard Knocks UUM.

Pihak Bank Rakyat pula diwakili oleh En. Ariff Iskandar Shah Mohamad Aminudin, Vice President, Research and Strategic Alliance, Centre of Excellence bersama Puan Noorhisam Yasin, Senior Vice President, Bank Rakyat Academy (School of Leadership & Experience Transformation).
Dr. Fikriyah berkata, jalinan kerjasama bersama organisasi industri seperti Bank Rakyat amat penting dalam memastikan pembangunan pelajar UUM sentiasa relevan dengan keperluan semasa pasaran pekerjaan.
“Melalui kerjasama bersama Bank Rakyat, kita melihat ruang yang sangat baik untuk memperkukuh kesiapsiagaan kerjaya pelajar, khususnya melalui program yang memberi pendedahan kepada kompetensi industri, pembangunan profesional dan peluang kerjaya selepas bergraduasi.

“Program School of Hard Knocks diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan pelajar dengan industri secara lebih dekat, dan penglibatan organisasi seperti Bank Rakyat mampu memberi nilai tambah yang besar kepada pengalaman pembangunan pelajar,” katanya.
Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak Bank Rakyat menyatakan minat untuk terlibat dalam Program SoHK pada semester akan datang. Sebagai langkah awal, kerjasama dicadangkan untuk dimulakan melalui program berbentuk Finishing School bagi membantu menyediakan pelajar, khususnya pelajar tahun akhir, dengan kemahiran dan kesiapsiagaan yang diperlukan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Perbincangan turut menyentuh potensi penyelarasan dengan Bank Rakyat Islamic Banker Programme yang memberi peluang kepada graduan baharu untuk membangunkan kompetensi dalam bidang perbankan Islam serta meneroka peluang kerjaya bersama institusi tersebut.

Cadangan ini dilihat selari dengan matlamat SoHK dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pendedahan industri, pembangunan kemahiran profesional dan akses kepada program pembangunan bakat yang ditawarkan oleh organisasi strategik.
Kerjasama antara UUM dan Bank Rakyat juga berpotensi dikembangkan kepada pelbagai inisiatif lain pada masa hadapan, termasuk perkongsian kepakaran industri, pembangunan kompetensi, program persediaan kerjaya serta peluang penempatan graduan.
Melalui jalinan strategik ini, UUM berharap lebih banyak peluang dapat diwujudkan bagi membolehkan pelajar membina kompetensi yang relevan, memahami kehendak majikan dan seterusnya meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan. – Dr. Aidanajwa Sabri



