Education

Kepelbagaian gender tingkatkan prestasi syarikat

SINTOK, 20 November 2024: Wanita memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi tadbir urus korporat dan memberi kekuatan kepada sesebuah organisasi.

Profesor dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, UUM, Prof. Dr. Noor Afza Amran berkata, kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa pemimpin wanita yang hebat memiliki integriti yang tinggi, azam yang teguh, berkarisma dan menjadi sumber inspirasi.

Beliau menyentuh peranan wanita dalam tadbir urus korporat dengan mengetengahkan isu seperti pengurangan perwakilan wanita dalam pengurusan atasan, dan peningkatan bilangan wanita dalam pengurusan atasan tidak selari dengan peningkatan peratusan wanita dalam tenaga kerja.

“Tujuh jenis gaya kepimpinan yang dikaji dalam penyelidikan ini antaranya autoritarian, demokratik, laissez-faire, transaksional, paternalistik, partisipatif, dan transformasional,” katanya.

Jelasnya, beliau mengkaji tokoh wanita yang berjaya seperti Tan Sri Siti Sadiah Sheikh Bakir, Allahyarhamah Datuk Wira Dr. Maznah Hamid dan Datuk Khadijah Ahmad yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah di Syarikat Tersenarai Awam di Malaysia.

“Ketiga-tiga pemimpin wanita yang dikaji mempunyai gaya kepimpinan paternalistik, yang mana mereka bertindak sebagai figura ibu yang menyediakan keadaan kerja yang baik serta faedah sampingan kepada kakitangan.

“Mereka juga mempunyai gaya kepimpinan transformasional, di mana pemimpin memotivasikan pengikut bagi mencapai cita-cita yang lebih tinggi dan mempunyai nilai moral.

“Mereka mendefinisikan visi, memberi inspirasi kepada pengikut untuk melaksanakannya, dan menunjukkan integriti yang lebih tinggi yang dilihat oleh orang lain,” ujarnya pada Syarahan Pengukuhan Profesor 2024 Siri 9 – Profesor Dr. Noor Afza Amran – “Women On Board: Enhancing Corporate Governance and Performance”, di Auditorium SOIS, UUM, semalam.

Penyelidikan yang telah dijalankan berdasarkan tiga teori asas berkaitan dengan sumber manusia seperti teori berasaskan sumber, teori modal insan, dan teori identiti sosial. Dalam teori ini, pengarah wanita dianggap sebagai aset berharga dan unik. Firma yang perlu memeliharanya sumber ini dengan baik.

Sumber (pengarah wanita) adalah mustahil untuk ditiru, diganti atau diserahkan. Setiap kemahiran, keupayaan, dan pengalaman pengarah wanita sangat bernilai.

Banyak syarikat optimis untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam jawatan kanan. Peningkatan kehadiran wanita dalam jawatan lembaga pengarah akan memberi impak yang signifikan terhadap tadbir urus korporat dan pembuatan keputusan strategik.

Penemuan daripada kajiannya mendapati kepelbagaian jantina meningkatkan prestasi syarikat. Wanita memanfaatkan bakat, kesetiaan, dan keprihatinan mereka untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

“Syarikat dengan bilangan ahli lembaga pengarah yang besar kurang cenderung untuk melantik wanita sebagai ahli lembaga.

“Ahli lembaga pengarah lelaki yang membentuk kumpulan majoriti boleh meminggirkan ahli lembaga wanita yang merupakan kumpulan minoriti bagi menghalang perspektif mereka daripada dipersoalkan.  Kebanyakan syarikat yang dimiliki keluarga hanya melantik ahli keluarga wanita ke dalam lembaga pengarah mereka,” ujarnya yang juga Pengarah Asian Research Institute for Corporate Governance.

Sebagai solusi, beliau mencadangkan supaya memperbaiki perundangan dan dasar untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif, mewujudkan ekosistem yang menyokong penyertaan wanita di dalam bidang tadbir urus korporat.

“Selain itu tingkatkan kuota kepada 50% atau lebih dan kerajaan perlu menubuhkan ruang selamat untuk wanita di tempat kerja, menghalang gangguan seksual dan keganasan berasaskan jantina.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button