SULAM dan MEKAR beri khidmat komuniti di SK Dato’ Wan Kemara, Changlun
SINTOK, 26 November 2024: Program SULAM dan MEKAR telah mencipta pengalaman bermakna apabila teori dan amalan bersatu dalam satu inisiatif khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun yang melibatkan murid-murid Tahun 5.
Program ini menjadi platform bagi pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kursus GMJTK3113 Pentadbiran Alam Sekitar. Kehadiran seramai 69 pelajar UUM disambut mesra oleh guru yang diketuai oleh Guru Besar, Mohd Nizam Saidin.
Semangat kolaborasi ini disemarakkan lagi dengan perasmian program oleh Dekan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Prof. Madya PMgr Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid.
Menurutnya, program ini bukan sahaja berjaya mengintegrasikan khidmat komuniti dan pembelajaran teori, tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mencipta impak positif melalui pengalaman dunia sebenar.
Bak kata pepatah, “Bersatu teguh, bercerai roboh” sinonim pepatah ini dengan aktiviti yang telah dilakukan oleh pelajar di mana pelajar perlu bersatu padu di dalam kumpulan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi bersama-sama murid Tahun 5 sekolah tersebut.
Program SULAM dan MEKAR berfokuskan kepada pemberian ilmu mengenai alam sekitar agar murid-murid Tahun 5sekolah tersebut dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai alam sekitar yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat kini dan perlu dipupuk daripada awal lagi. Program SULAM dan MEKAR ini sangat penting bagi mendidik pelajar-pelajar UUM cakna terhadap isu semasa berkaitan masyarakat dan komuniti kini.
Program SULAM dan MEKAR diteruskan dengan penuh semangat apabila pelajar-pelajar UUM dibahagikan kepada 12 kumpulan, setiap kumpulan berganding bahu bersama murid Tahun 5. Aktiviti yang dijalankan oleh setiap kumpulan mempamerkan kreativiti dan keunikan masing-masing, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna bagi semua peserta.
Program dimulakan dengan slot perasmian diiringi persembahan irama muzik tradisional Melayu oleh pasukan Muzik Kontemporari SKDWK, mencipta suasana yang penuh adat dan budaya, diikuti slot kedua adalah sesi interaktif di mana murid-murid, yang telah dibahagikan kepada 12 kumpulan bekerjasama untuk menjawab kuiz menarik berkaitan kitar semula. Kuiz ini direka khas untuk menguji dan memperluaskan pengetahuan am mereka mengenai konsep kitar semula serta kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Melalui aktiviti ini, murid-murid bukan sahaja dapat belajar dengan lebih mendalam tentang amalan mesra alam tetapi juga berpeluang mengasah kemahiran kerja berpasukan dan daya saing secara sihat dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh pembelajaran.
Slot ketiga diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu yang sangat informatif dan menarik, disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail. Sesi ini memfokuskan kepada topik pengasingan sisa pepejal dan aktiviti kitar semula sebagai satu langkah penting dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar. Slot perkongsian ilmu ini bukan sahaja berkongsi fakta dan maklumat terkini mengenai pengurusan sisa pepejal dan aktiviti kitar semula tetapi juga memberi penerangan mendalam tentang bagaimana amalan ini boleh membantu mengurangkan pencemaran dan memelihara sumber semula jadi.
Pendekatan yang interaktif dan penuh inspirasi ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran para peserta tentang kepentingan pengasingan sisa pepejal dan aktiviti kitar semula tetapi juga mendorong mereka untuk mempraktikkan amalan ini dalam kehidupan seharian demi manfaat generasi kini dan masa hadapan.
Slot keempat pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif yang direka khas oleh pelajar UUM berjaya mencuri tumpuan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut meningkatkan kesedaran murid-murid terhadap kepentingan kitar semula, menjadikannya pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja kreatif, malah disusun dengan teliti untuk memastikan pembelajaran mengenai kitar semula dapat disampaikan dengan dan mudah difahami. Murid-murid berpeluang mempelajari konsep kitar semula melalui pendekatan penglibatan secara langsung menggunakan bahan-bahan yang disediakan.
Melalui cara ini, mereka dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana aktiviti kitar semula berfungsi serta memahami kepentingannya dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Program SULAM dan MEKAR ini ditutup dengan ucapan penggulungan yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam yang menzahirkan penghargaan dan rasa bangga terhadap semua pihak yang telah terlibat.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa syukur atas kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua pihak sepanjang program ini dijalankan. Pihak sekolah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pensyarah dan pelajar daripada Pusat Pengajian Kerajaan, UUM atas dedikasi dan komitmen mereka dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti menarik dan bermakna.
Majlis penutup ini bukan sahaja menjadi simbolik kepada tamatnya program, tetapi juga mencerminkan kejayaan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap ilmu kitar semula dan nilai-nilai murni dalam kehidupan. – Mohd Mahadi Mohd Razani