CUIC terus perkukuh kerjasama dengan PETRONAS
SINTOK, 5 Disember 2024: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kedua ke PETRONAS untuk membincangkan peluang kerjasama akademik dan pembangunan profesional antara kedua-dua institusi.
Delegasi CUIC diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam bersama Timbalannya, Dr. Normalisa Md Isa dan PETRONAS diketuai oleh Pengurus Kanan, People Strategy & Planning (PD&T), Mutiara Adnan.
Antara topik utama perbincangan adalah peluang kepada staf PETRONAS untuk melanjutkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) UUM.
Program MBA UUM kini diiktiraf sebagai No. 1 di Malaysia dan berada dalam senarai 200 terbaik di peringkat global.
Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar turut hadir untuk berkongsi maklumat mengenai kelebihan penawaran program ini, manakala Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Dr. Fikriyah Abdullah pula mengambil peluang untuk menjemput semula PETRONAS menyertai program School of Hard Knocks (SOHK).
Perbincangan lain turut meliputi inisiatif strategik untuk mengukuhkan hubungan universiti-industri, termasuk pelantikan wakil PETRONAS sebagai profesor adjung, ahli panel penasihat industri, dan pensyarah jemputan. – Siti Nazirah Jaya