General

CIAC santuni warga Anjung Singgah Pulau Pinang

PULAU PINANG, 5 Disember 2024 – Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Universiti Utara Malaysia,  menyantuni warga Anjung Singgah Pulau Pinang, sekali gus memperkukuhkan tanggungjawab sosial universiti.

Pengarah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Zon Utara II, Zulkifli Yaacob berbesar hati dengan kunjungan CIAC yang melaksanakan satu program tanggungjawab sosial   bersama warga ASPP.

Jelasnya, ASPP merupakan sebuah pusat penginapan sementara yang dikawal selia oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN), menyediakan tempat berteduh kepada gelandangan di Pulau Pinang.

“ASPP mampu menempatkan sehingga 40 individu pada satu masa. Proses saringan ketat dilaksanakan bagi memastikan penghuni bebas daripada pengaruh dadah dan benar-benar memerlukan bantuan,”  ujarnya.

Delegasi CIAC telah diberikan taklimat mengenai operasi ASPP dan YKN, termasuk usaha mereka dalam menyediakan sokongan kepada golongan rentan.

Beliau turut berkongsi latar belakang penghuni ASPP yang terdiri daripada pelbagai golongan, termasuk mereka yang mengalami masalah hubungan keluarga, keganasan rumah tangga atau kehilangan pekerjaan.

“ASPP dengan kerjasama pihak swasta, berusaha membantu penghuninya kembali berdikari dengan menyediakan pekerjaan yang bersesuaian. Malah, beberapa majikan turut menawarkan kemudahan seperti asrama dan pengangkutan kepada pekerja mereka.

“Perkhidmatan kaunseling juga disediakan di ASPP bagi membantu penghuni memulihkan semangat dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Projek, Amierul Husniey Che Abd Rahman berkata, program ini bertujuan membantu golongan gelandangan serta memperkukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.

“Sebagai usaha menyokong operasi ASPP, CIAC telah menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian seperti tuala mandi, sabun dan barangan asas.  Rombongan CIAC turut melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong membersihkan fasiliti ASPP.

“Program ini bukan sekadar membantu komuniti gelandangan tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan kesyukuran dalam kalangan staf CIAC.

“Kami berhasrat menjadikan program ini acara tahunan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti,” katanya.

Program ini juga berperanan meningkatkan keterlihatan UUM sebagai universiti yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, usaha murni seperti ini diharap dapat diteruskan bagi membawa perubahan positif kepada komuniti yang memerlukan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button