General

eFloraCyntok platform lestari urus maklumat tumbuhan UUM

Gambar Muhammad Shamsul Shafie dan Ihsan Pasukan Penyelidik eFloraCyntok

SINTOK, 19 Februari 2025: Pembangunan Katalog Digital Hijau UUM (eFloraCyntok) merupakan inisiatif yang bertujuan untuk menyediakan platform efisien dan lestari bagi pengurusan maklumat tumbuhan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katalog ini dirancang untuk memberikan akses, carian, dan berkongsi maklumat tentang flora kampus dengan mudah.

eFloraCyntok merupakan langkah proaktif dalam mempromosikan kesedaran akan kepelbagaian flora dan pentingnya pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan komuniti universiti dan masyarakat umum.

Katalog Digital Hijau ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiauasaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian. Turut hadir, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Arkitek Landskap, Fatin Liyana Abdul Hamid berkata, eFloraCyntok ini dijangka dapat menyumbang kepada penyelidikan dan pemeliharaan alam sekitar secara lebih efektif pada masa hadapan.

Menurutnya, tujuan rekod data digital ini adalah untuk memudahkan pihak pengurusan mengemas kini maklumat pokok dan menambah baik penjagaan tumbuhan.

Selain itu, katanya, ia juga akan dapat membantu dalam menyediakan maklumat untuk pendidikan dan penyelidikan. Akses kepada rekod tumbuhan, mendokumentasikan sejarah, keadaan, dan penjagaan tumbuhan dan penanaman, adalah penting untuk memahami sumber alam sekitar ini.

“Dalam era digital kini, ICT amat diperlukan dalam pelbagai bidang dan antaranya ialah bidang pertanian, tanaman herba dan tidak terkecuali bagi pengurusan landskap.

“UUM merupakan sebuah universiti kampus hijau yang mempunyai pelbagai jenis pokok yang bukan sahaja menarik malah banyak manfaatnya. Antara taman yang menarik dan boleh diterokai ialah taman herba,” katanya.

Sesuai dengan arus kemodenan masa kini, pelbagai alat digital yang digunakan untuk membantu dalam pengurusan penyimpanan rekod. Katalog ini dirancang sebagai platform yang membolehkan penyelidik, pelajar, dan pengguna lain untuk mengakses, mencari dan berkongsi maklumat tentang flora yang terdapat di kampus tersebut.

Pembangunan eFloraCyntok telah membawa kepada penciptaan sebuah platform digital yang inovatif dan bermanfaat bagi pengurusan maklumat tumbuhan di UUM.

Dengan usaha berterusan dan sokongan yang berterusan dari semua pihak, eFloraCyntok akan terus menjadi sumber maklumat yang penting dan relevan untuk masa depan.

eFloraCyntok dibangunkan oleh Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi dan Prof. Madya Ts. Dr. Fadhilah Mat Yamin dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik; Prof. Madya Ts. Dr. Wan Hussain Wan Ishak dari Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Fatin Liyana Abdul Hamid dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI).

Penyelidikan ini telah dibiayai oleh Skim Geran Penyelidikan Pembangunan dan Ekosistem di bawah CeTMA yang telah menjadikan penyelidikan ini dapat dilaksanakan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button