Perkukuh Sinergi Keusahawanan Sosial
Sintok, 23 Februari 2025 – Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial dengan mengadakan Sesi Libat Urus bersama mentor dan pelajar yang terlibat dalam projek Nuran Wellness Incubator Hub.
Sesi ini diadakan bagi mempersiapkan pelajar menghadapi proses pemantauan Fasa Pertama oleh Jawatankuasa Induk UCSE, memastikan projek berjalan mengikut hala tuju yang dirancang dan mencapai sasaran impak yang ditetapkan.
Pertemuan yang berlangsung di CEDI ini menghimpunkan Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan, yang juga Ketua Pemantau Zon Utara UCSE mewakili UUM, Mentor Pertama, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie serta Mentor Kedua, Muhammad Kamil Yazid.
Turut hadir, Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI, Fatin Athirah Fadzillah, bersama wakil-wakil pelajar yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek ini.
Sesi libat urus ini memberi fokus kepada penyelarasan peranan mentor dan pelajar, pemantapan model keusahawanan sosial, serta pengukuhan persiapan untuk pemantauan Fasa Pertama UCSE.
Menurut Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan, sesi ini penting bagi memastikan pelajar dan projek berada dalam keadaan terbaik sebelum dinilai oleh Jawatankuasa Induk UCSE.
“Sebagai Ketua Pemantau Zon Utara UCSE, saya melihat kepentingan sinergi dalam membangunkan projek keusahawanan sosial yang berimpak tinggi.
“Kejayaan projek bukan hanya bergantung kepada idea, tetapi kepada pelaksanaan yang sistematik dan pemantauan yang rapi. Melalui sesi ini, kita memastikan bahawa pelajar memahami hala tuju projek dan bersedia untuk menampilkan hasil kerja mereka secara efektif,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie menekankan bahawa kejayaan projek ini adalah hasil kerjasama erat sinergi yang telah berlangsung sekian lama.
“Projek ini mencerminkan bagaimana universiti boleh memainkan peranan lebih luas dalam pembangunan masyarakat. Masjid bukan hanya tempat ibadah, tetapi juga pusat pertumbuhan ekonomi dan pendidikan.
“Dengan bimbingan yang betul dan persediaan yang rapi, saya yakin projek ini akan menjadi contoh terbaik model keusahawanan sosial di peringkat universiti,” katanya.
Mentor Kedua, Muhammad Kamil Yazid, pula menekankan kepentingan latihan dan persediaan pelajar bagi menghadapi sesi pemantauan UCSE.
“Pelajar bukan sahaja perlu memahami konsep projek tetapi juga mampu menerangkannya dengan jelas kepada Jawatankuasa Induk. Latihan ini membolehkan mereka memperkemas strategi penyampaian dan meningkatkan keyakinan mereka dalam mempertahankan idea serta pelaksanaan projek,” katanya.
Sesi ini turut membuka ruang kepada wakil pelajar untuk berkongsi pengalaman dan cabaran dalam pelaksanaan projek. Penyelarasan aktiviti, strategi pemasaran produk organik, serta kaedah penglibatan komuniti menjadi antara topik utama yang dibincangkan bagi memastikan projek mencapai objektif yang ditetapkan.
Turut serta bagi pengakhiran sesi adalah Timbalan Pengarah Bahagian Latihan dan Inkubator CEDI, Dr. Saiful Azizi Ismail, yang berkongsi input dan nasihat kepada pelajar mengenai kepentingan inovasi dalam keusahawanan sosial serta strategi pengukuhan projek agar berdaya tahan dan mampan dalam jangka masa panjang.
Dengan persiapan yang teliti dan bimbingan mentor berpengalaman, CEDI yakin bahawa Nuran Wellness Incubator Hubakan dapat memenuhi kriteria pemantauan UCSE dan berkembang sebagai model keusahawanan sosial yang memberi manfaat kepada pelajar, universiti, dan masyarakat secara menyeluruh. – Akmal Ahlami Mohd Rozai