Campus

EduExcel perkasa kemahiran digital mahasiswa pendidikan UUM

Gambar Ooi Chia Xuen

SINTOK, 21 April 2025: Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan inisiatif memperkasa kemahiran teknologi dalam kalangan mahasiswa pendidikan menerusi penganjuran Program EduExcel: Pembelajaran Excel untuk Pendidikan Guru di Dewan Kuliah Gugusan 3/1, baru-baru ini.

Pengarah Program, Mohammad Zulhafizi Zakaria berkata, program ini melibatkan 41 pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) serta barisan jawatankuasa pelaksana.

Menurutnya, program ini dianjurkan sebagai usaha menyokong transformasi pendidikan digital selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) serta aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan keperluan pendidik abad ke-21 menguasai kemahiran teknologi secara holistik.

Katanya, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap aplikasi perisian Microsoft Excel sebagai alat bantu pengajaran dan pengurusan data yang cekap dalam konteks pendidikan.

“Saya yakin bahawa program seperti ini bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran teknikal pelajar, malah menjadi landasan ke arah membina pendidik masa depan yang celik teknologi, kreatif, dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan digital,” katanya.

Antara fokus pengisian termasuk pengenalan kepada asas Excel, Pivot Table, serta fungsi LOOKUP, yang disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee di mana beliau berkongsi pelbagai teknik, strategi, dan aplikasi praktikal yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam merancang bahan pengajaran, menganalisis prestasi pelajar, dan mengurus data secara sistematik.

Turut diadakan ialah aktiviti kuiz interaktif dan sesi soal jawab yang memberikan peluang kepada peserta untuk menguji kefahaman serta berinteraksi secara langsung dengan penceramah.

Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen SoE dalam melahirkan guru yang holistik, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan alaf baharu. SoE sentiasa menitikberatkan pembangunan menyeluruh mahasiswa pendidikan merangkumi aspek intelektual, sahsiah, emosi, sosial dan kemahiran digital, sejajar dengan hasrat universiti untuk membentuk pendidik berdaya saing yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu pengetahuan, malah memiliki kepimpinan nilai dan celik teknologi.

Melalui program seumpama ini, SoE berusaha untuk membudayakan pendidikan berasaskan teknologi dalam kalangan pelajar agar mereka dapat memanfaatkan kemahiran digital sebagai satu bentuk pedagogi baharu yang relevan dan responsif terhadap keperluan murid masa kini. Pendekatan ini juga selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang mengutamakan keseimbangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) dalam pembentukan insan seimbang. – Mohammad Zulhafizi Zakaria

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button