Campus

Program Redang Cares: Kelestarian pantai dan bantuan komuniti asnaf

Berita dan gambar oleh: Muhammad Izzat Iskandar Bin Baharudin

PULAU REDANG, 19 Jun 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan komitmennya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti (University Social Responsibility – USR) menerusi penganjuran aktiviti Kelestarian Pantai & Bantuan Komuniti Asnaf sempena Program USR: Redang Cares yang berlangsung di Kampung Pulau Redang, Terengganu.

Program anjuran Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa/Residen Siswa (JKPSRS) Inasis Luar Kampus UUM dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulau Redang ini menggabungkan dua elemen utama, iaitu pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan komuniti, sebagai usaha melahirkan mahasiswa yang prihatin terhadap kelestarian alam serta kesejahteraan masyarakat.

Antara pengisian utama program ialah aktiviti pembersihan pantai yang melibatkan mahasiswa UUM, staf pengiring dan penduduk kampung. Peserta berganding bahu mengutip sampah serta sisa pencemaran di sepanjang pesisir pantai bagi memastikan kawasan tersebut kekal bersih, selamat dan terpelihara.

Aktiviti ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kesan pencemaran terhadap ekosistem marin serta kepentingan mengamalkan budaya menjaga kebersihan alam sekitar secara berterusan.

Selain menyumbang kepada pemuliharaan kawasan pantai, program ini turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan masyarakat melalui Sesi Santuni Asnaf yang diadakan di Balai Raya Kampung Pulau Redang.

Sumbangan kepada golongan asnaf disampaikan sebagai tanda keprihatinan Universiti Utara Malaysia terhadap masyarakat yang memerlukan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti dan komuniti setempat.

Turut diadakan ialah sesi Inspirasi untuk Generasi Masa Depan yang bertujuan memperkenalkan Universiti Utara Malaysia kepada komuniti Kampung Pulau Redang, khususnya golongan muda dan keluarga asnaf. Sesi perkongsian ini memberi pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian tinggi, bantuan pendidikan serta kepentingan pendidikan sebagai medium meningkatkan taraf hidup dan membina masa depan yang lebih cemerlang.

Melalui gabungan aktiviti kelestarian alam sekitar dan kebajikan komuniti, peserta bukan sahaja berpeluang mengaplikasikan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan, malah berjaya memupuk nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

Penglibatan secara langsung bersama masyarakat setempat turut memberikan pengalaman bermakna kepada mahasiswa dalam memahami realiti kehidupan komuniti luar bandar dan kepentingan membina hubungan yang erat antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat.

Program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs), khususnya SDG 14: Life Below Water melalui usaha pemuliharaan kawasan pesisir pantai serta SDG 10: Reduced Inequalities menerusi bantuan kepada golongan asnaf dan penglibatan komuniti secara inklusif. Pelaksanaan inisiatif ini turut menyumbang kepada pencapaian agenda USR Universiti Utara Malaysia dalam memperluaskan manfaat kepada komuniti luar kampus.

Secara keseluruhannya, Program Redang Cares: Kelestarian Pantai & Bantuan Komuniti Asnaf berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti dan pendidikan dalam satu inisiatif yang berimpak tinggi.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan Universiti Utara Malaysia dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, keprihatinan sosial dan semangat kesukarelawanan yang tinggi, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kelestarian negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button