PENYELIDIK UUM TERIMA GERAN PENYELIDIKAN SPRM BERNILAI RM100,000
Berita dan gambar oleh: Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), UUM
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kecemerlangan dalam bidang penyelidikan apabila pasukan penyelidiknya berjaya menerima Geran Projek Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Tahun 2026 daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernilai RM100,000.

Geran penyelidikan tersebut diterima bagi melaksanakan kajian bertajuk “Kajian Kebolehlaksanaan Economic Crime and Corporate Transparency Act di Malaysia” bagi tempoh dari 2026 sehingga 2027.
Kajian ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff yang merupakan Research Fellow (RF) Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) serta Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL), UUM.
Kajian ini akan dilaksanakan bersama barisan penyelidik yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir dan Dr. Ahmad Shukri Abdul Hamid dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), UUM, serta Prof. Madya Dr. Mohd. Yazid Bin Zul Kepli dari Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada aspek kebolehlaksanaan Economic Crime and Corporate Transparency Act dalam konteks Malaysia, khususnya bagi meneliti potensi pemakaian pendekatan perundangan berkaitan dalam memperkukuh tatakelola, integriti dan ketelusan korporat.
Melalui penyelidikan ini, pasukan penyelidik diharap dapat menghasilkan dapatan dan cadangan yang bermanfaat kepada pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh kerangka pencegahan jenayah ekonomi serta amalan tadbir urus yang berintegriti.
Kejayaan memperoleh geran ini turut mencerminkan keupayaan penyelidik UUM untuk menyumbang kepakaran akademik dalam menangani isu strategik negara, di samping menggalakkan kerjasama penyelidikan antara institusi pengajian tinggi.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff serta semua penyelidik bersama atas kejayaan memperoleh geran penyelidikan berprestij ini.
Semoga kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat, institusi dan negara.



