General

KEHILANGAN IBU BAPA DAN ADIK, KANCANA HADIAHKAN IJAZAH BUAT DATUK DAN NENEK

Gambar oleh: Jurufoto JKK, UUM

SINTOK, 17 November 2026: Kehilangan ibu ketika berusia tiga tahun, diikuti pemergian bapa dan adik tersayang akibat kemalangan jalan raya tidak pernah mematahkan semangat Kancana Devi A/P Vickneswaran, 24, untuk terus mengejar impian sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-39 Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Sebaliknya, kasih sayang dan pengorbanan datuk serta nenek yang membesarkannya sejak kecil menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan kehidupan sehingga berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian (Bimbingan dan Kaunseling).

Anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Kluang, Johor itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik paling membanggakan dalam hidupnya kerana menjadi graduan pertama dalam keluarga, sekali gus membuktikan segala pengorbanan datuknya, 63, dan neneknya, 65, selama ini tidak sia-sia.

Lebih bermakna, Kancana hadir ke majlis konvokesyen itu dengan ditemani kedua-dua insan yang telah membesarkan dan menjaganya sejak kecil.

Ketika ditemu bual, Kancana kelihatan menahan sebak dengan mata yang kemerahan sambil menggenggam kedua-dua tangannya ketika mengenang pengorbanan datuk dan nenek yang tidak pernah berhenti memberikan kasih sayang serta memastikan pendidikannya terpelihara.

Baginya, segulung ijazah yang diterima pada hari ini merupakan hadiah istimewa buat kedua-dua insan tersebut sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas segala pengorbanan mereka membesarkannya.

Menurut Kancana, perjalanan hidupnya bukanlah mudah apabila ibunya meninggal dunia dalam satu kemalangan tragis ketika beliau baru berusia tiga tahun.

Ketika itu, beliau dan adiknya berada di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah bapanya berikutan ibunya bekerja jauh dari keluarga.

Selepas pemergian ibunya, menyebabkan datuk dan nenek mengambil tanggungjawab membesarkan kedua-dua cucu berkenaan. Walaupun bapanya tidak kerap datang berjumpa, Kancana tetap mengetahui bahawa bapanya menyayangi mereka.

Namun, ujian kehilangan kembali menguji kehidupannya apabila bapanya meninggal dunia pada 2014, ketika beliau sedang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Kehilangan adik yang meninggal dunia pada usia 19 tahun akibat kemalangan jalan raya turut meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Menurut Kancana, adiknya merupakan teman paling rapat sejak kecil, tempat beliau bermain dan berkongsi cerita, sekali gus menjadikan pemergian insan tersebut satu kehilangan yang sukar digambarkan.

Bukan itu sahaja, zaman persekolahannya turut diwarnai pengalaman pahit apabila menjadi mangsa buli ketika Tahun Satu hingga Tahun Tiga kerana dibesarkan oleh datuk dan nenek yang dikatakan mempunyai cara didikan berbeza daripada kebiasaan rakan sebaya.

Pengalaman tersebut meninggalkan kesan emosi yang mendalam, namun sokongan dan bantuan guru ketika itu membantunya menerima diri sendiri serta membina keyakinan untuk meneruskan kehidupan.

Di sebalik pelbagai ujian yang dilalui, Kancana berjaya membuktikan bahawa latar belakang kehidupan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, malah beliau menjadi cucu pertama daripada enam orang cucu datuk dan neneknya yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat universiti.

Pencapaian itu diharapkan dapat membuka harapan baharu kepada datuk dan neneknya serta menjadi inspirasi kepada lima orang cucu yang lain untuk turut mengejar kejayaan dalam bidang yang mereka minati dan mengubah kehidupan.

Sepanjang empat tahun pengajian di UUM, Kancana turut aktif melibatkan diri dalam pelbagai persatuan bagi memperluas jaringan pergaulan dan menambah pengetahuan.

Pada tahun pertama, beliau menyertai Kelab Unit Debat Tamil sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Tugas Khas, sebelum menjadi AJK Protokol English Club UUM pada tahun kedua dan AJK Penajaan Global Buddies Club pada tahun ketiga.

Selain aktif dalam kegiatan pelajar, beliau turut ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UUM.

Kini, beliau turut bekerja secara sambilan sebagai Pegawai Operasi APM di Kluang, Johor, sekali gus meneruskan penglibatan dalam bidang khidmat masyarakat.

Mengimbas pengalaman sepanjang berada di universiti, Kancana menyifatkan kehidupan kampus sebagai perjalanan yang mempertemukannya dengan pelbagai ragam manusia, selain mengajarnya mengenali erti persahabatan, berdikari dan menghargai setiap pengalaman.

Beliau turut menasihatkan pelajar supaya tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain sehingga menghalang mereka daripada menikmati pengalaman sepanjang berada di universiti.

“Jangan takut untuk bergerak sendiri kerana bukan semua orang yang kita anggap kawan benar-benar mahukan kejayaan kita. Lebih baik tidak mempunyai ramai kawan daripada dikelilingi mereka yang hanya hadir atas nama persahabatan tetapi mengharapkan kegagalan kita.

“Jadilah insan yang baik terhadap diri sendiri dan orang lain serta nikmati setiap pengalaman sepanjang berada di universiti,” katanya.

Bagi Kancana, kejayaan menggenggam ijazah pada hari ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi hadiah paling bermakna buat datuk dan nenek yang telah menjadi tempatnya bergantung sejak kecil.

Segulung ijazah itu menjadi tanda terima kasih atas segala kasih sayang, penjagaan dan pengorbanan mereka, selain bukti bahawa segala usaha membesarkannya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button