GRADUAN UUM DIGESA JUNJUNG INTEGRITI, TOLAK RASUAH TANPA KOMPROMI
Gambar oleh: Jurufoto, JKK, UUM
Sintok, 16 November 2026: Para graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) digesa menjadikan integriti sebagai prinsip utama dalam kehidupan dan kerjaya, selain menolak sebarang bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan sumber awam tanpa kompromi.
Raja Muda Kedah merangkap Pro-Canselor UUM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menyampaikan titah sempena Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM, Sesi Kedua di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Menurutnya, kejayaan seseorang bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian dan pengiktirafan, sebaliknya turut dinilai melalui prinsip serta nilai moral yang dipegang sepanjang kehidupan.
Titahnya, integriti merupakan antara nilai paling berharga yang perlu dimiliki setiap graduan, khususnya ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan dalam dunia pekerjaan.
“Integriti bermaksud melakukan perkara yang betul walaupun tiada sesiapa yang melihat. Jadilah individu yang boleh dipercayai serta rakan sekerja yang sentiasa mengutamakan keadilan dan kejujuran,” titahnya.
Pada majlis tersebut, seramai 122 graduan sulung daripada tiga program pengajian baharu UUM turut diraikan, melibatkan graduan Ijazah Sarjana Sains (Geoinformatik untuk Pengurusan Risiko Bencana), Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian serta Ijazah Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian.

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM dan Dato’ Muhamad Khizri Abu Kasim
Raja Muda Kedah turut mengingatkan para graduan supaya tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan kegagalan, sebaliknya menjadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk memperbaiki diri melalui pembelajaran sepanjang hayat.
Selain integriti, nilai hormat-menghormati juga perlu menjadi amalan dalam kehidupan dengan menghormati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang.
Raja Muda Kedah mahukan tadbir urus yang baik dan ketelusan merupakan dua prinsip asas yang menentukan kredibiliti jangka panjang sesebuah institusi, sama ada kerajaan, badan korporat mahupun organisasi masyarakat.
Reputasi sesebuah institusi, jelas baginda, bukan hanya bergantung kepada pencapaian, kedudukan atau anugerah yang diterima, tetapi turut ditentukan oleh cara institusi berkenaan ditadbir, termasuk dalam proses membuat keputusan, mengurus sumber dan melaksanakan tanggungjawab.

Pro-Canselor turut mengingatkan bahawa kepentingan peribadi tidak seharusnya mengatasi prinsip integriti kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan antara ancaman utama terhadap keutuhan organisasi serta kesejahteraan negara.
Raja Muda Kedah turut berpesan agar para graduan sentiasa menjaga nama baik UUM di mana sahaja mereka berada kerana setiap graduan merupakan cerminan universiti.



