GRADUAN ADALAH TENAGA DAN PEMIKIR MASA DEPAN MALAYSIA – PRO-CANSELOR UUM
Gambar oleh: Jurufoto JKK, UUM
Sintok, 17 November 2026 – Graduan universiti merupakan tenaga dan pemikir masa depan negara yang memikul tanggungjawab besar untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas, khususnya dalam perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan persaingan ekonomi global.

Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff, berkata masa depan Malaysia banyak bergantung kepada keupayaan modal insan yang berkualiti, berpengetahuan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap dunia.
“Graduan bukan sekadar perlu memiliki kelayakan akademik, malah harus melengkapkan diri dengan keupayaan berfikir secara kritis, merancang strategi dan mencari penyelesaian terhadap cabaran yang bakal dihadapi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM, Sesi Keempat di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.
Seramai 887 graduan daripada pelbagai program pengajian menerima ijazah masing-masing pada sesi berkenaan, melibatkan bidang Pengurusan Hospitaliti, Pengurusan Pelancongan, Pengurusan Acara, Pengurusan Awam, Pengurusan Pembangunan, Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Pengurusan Perniagaan Logistik dan Pengangkutan, Undang-Undang serta Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan.

Tengku Mahaleel berkata, perkembangan teknologi kini menunjukkan bahawa landskap industri dan pekerjaan sedang berubah dengan ketara, justeru graduan perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran agar tidak ketinggalan.
“Dunia hari ini mengalami perubahan yang jauh lebih pantas berbanding sebelumnya, sekali gus menuntut setiap individu dan organisasi memahami perkembangan semasa serta bersedia menghadapi ketidaktentuan masa depan”, katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan perancangan senario dan analisis strategik bagi membolehkan individu mengenal pasti punca sesuatu cabaran serta merangka penyelesaian secara bijaksana dan diplomatik.
Dalam konteks pendidikan tinggi, beliau berpandangan universiti perlu melakukan persediaan lebih menyeluruh bagi memastikan sistem pendidikan yang ditawarkan mampu memenuhi keperluan dunia masa hadapan.

Antaranya, menyediakan sistem pendidikan yang lengkap, memperbanyak pertukaran akademik, meningkatkan pengantarabangsaan, memperkukuh hubungan dengan industri serta menyediakan perkhidmatan pelajar yang berkualiti.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama universiti dengan industri dan institusi antarabangsa perlu diperkasakan bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman, pengetahuan praktikal serta pendedahan kepada perkembangan teknologi dan inovasi.
“Lebih 50,000 universiti dan kolej swasta kecil di seluruh dunia, sedangkan Malaysia mempunyai lebih 300 institusi pengajian tinggi, sekali gus menggambarkan persaingan besar yang perlu dihadapi,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan kepentingan memperkukuh penguasaan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain meningkatkan keupayaan penyelidikan, inovasi serta pendaftaran paten bagi memastikan Malaysia mampu bersaing dengan negara maju.
Tengku Mahaleel turut berkongsi lima prinsip kehidupan yang perlu dijadikan panduan oleh graduan, iaitu menjunjung integriti, merancang aliran kewangan sehingga persaraan, tidak memungkiri janji, membantu mereka yang memerlukan serta tidak pernah berhenti belajar.

Katanya, kejayaan bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik dan kedudukan kewangan, sebaliknya turut dibentuk oleh kejujuran, kepercayaan, keprihatinan terhadap orang lain serta kesediaan untuk terus menimba ilmu.
Beliau berharap perkongsian tersebut dapat mendorong graduan berfikir lebih jauh tentang tanggungjawab mereka dalam membantu Malaysia menghadapi perubahan dunia dan membina masa depan yang lebih baik.
Beliau turut menyeru graduan sebagai alumni UUM supaya terus menyumbang kepada universiti dan bersama-sama merealisasikan aspirasi menjadikan UUM sebagai universiti nombor satu pilihan pelajar.
Turut hadir, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) dan para pensyarah UUM.



